Rabu, 28 April 2021 | 12:13pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Kanada lapor kematian pertama dikaitkan vaksin AstraZeneca

MONTREAL: Pihak berkuasa semalam memaklumkan seorang wanita berusia 54 tahun maut selepas menerima vaksin AstraZeneca, kematian pertama dikaitkan dengan vaksin itu di Kanada.

Perdana Menteri Quebec, Francois Legault, pada sidang media, menzahirkan rasa simpatinya apabila mengetahui wanita berusia 54 tahun yang sihat, maut kerana diberi vaksin dan menyifatkannya sebagai sukar diterima.

Sementara itu, Ketua Kesihatan Awam wilayah berkenaan, Horacio Arruda, berkata rawatan untuk menyelamatkannya tidak berjaya dan pesakit tidak dikenali itu meninggal dunia kerana 'cerebral thrombosis' selepas diberi vaksin.

Bagaimanapun, katanya, kematian itu tidak boleh mengubah saranan pemerintah untuk menggunakan vaksin bagi golongan berusia 45 tahun ke atas.

Menteri Kesihatan, Christian Dube, pula berkata pihaknya maklum mengenai komplikasi serius pada nisbah satu daripada 100,000 (dos diberikan) tetapi setakat ini, lebih 400,000 orang sudah disuntik vaksin AstraZeneca di Quebec.

Lebih 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca sudah diberikan di seluruh negara setakat Jumaat lalu.

Hanya empat kes pembekuan darah dikaitkan dengan platelet rendah dilaporkan di negara itu, dengan setiap pesakit sudah pulih.

Perdana Menteri, Justin Trudeau menerima suntikan AstraZeneca, Jumaat lalu.

Pemimpin Kanada itu semalam, berkata kira-kira 60 tentera dikerahkan ke hospital di Nova Scotia bagi membantu merawat pesakit kritikal.

Kira-kira 30 jururawat tentera dan juruteknik kesihatan dikerahkan bagi memperkuat kakitangan hospital di Ontario yang sedang menghadapi gelombang jangkitan baharu akibat beberapa varian kelmarin. - AFP

Berita Harian X