Jumaat, 23 April 2021 | 8:57am
Gambar menunjukkan kapal selam Tentera Laut Indonesia, KRI Alugoro, yang menyertai misi mencari kapal selam KRI Nanggala, yang hilang ketika latihan di perairan Bali. - Foto EPA
Gambar menunjukkan kapal selam Tentera Laut Indonesia, KRI Alugoro, yang menyertai misi mencari kapal selam KRI Nanggala, yang hilang ketika latihan di perairan Bali. - Foto EPA

AS hantar bantuan cari kapal selam Indonesia

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) menghantar pasukan udaranya bagi membantu carian kapal selam Indonesia yang hilang bersama 53 kelasi di dalamnya.

Jurucakap Pentagon, John Kirby, berkata Jabatan Pertahanan AS amat sedih dengan tragedi kehilangan kapal selam KRI Nanggala 402 ketika latihan di perairan Bali Rabu lalu.

"Kami bersimpati dengan kelasi terbabit dan keluarga mereka. Atas permintaan kerajaan Indonesia, kami menghantar aset udara bagi membantu carian kapal selam yang hilang itu," katanya.

Tambah beliau, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, akan menemui Ketua Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, bagi membincangkan bagaimana AS boleh membantu.

Tompokan minyak di lokasi di mana kapal selam itu dipercayai berada menunjukkan mungkin berlaku kerosakan pada tangki minyak, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku tragedi lebih buruk.

Kru kapal selam buatan Jerman itu dijangka hanya mempunyai bekalan oksigen yang mencukupi sehingga hari ini, menandakan masa semakin suntuk bagi pasukan penyelamat yang meronda kawasan perairan Bali bagi mencari lokasinya. - AFP

Berita Harian X