Sabtu, 17 April 2021 | 12:55pm
Presiden AS, Joe Biden (kanan) dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, pada sidang media bersama di Rumah Putih. - Foto AFP
Presiden AS, Joe Biden (kanan) dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, pada sidang media bersama di Rumah Putih. - Foto AFP

AS, Jepun tunjukkan kesepakatan dalam sidang kemuncak pertama

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Jepun berikrar untuk bersatu menentang China selain meningkatkan kerjasama mengenai perubahan iklim serta teknologi generasi akan datang.

Kedua-dua negara turut menunjukkan kesepakatan berhubung pelbagai isu dalam sidang kemuncak pertama anjuran Presiden AS, Joe Biden, selepas menunggu hampir tiga bulan sebelum menerima tetamu asing pertamanya berikutan COVID-19.

Biden memberitahu Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, bahawa Jepun menikmati sokongan tidak berbelah bahagi AS dalam isu keselamatan.

"Kita akan bekerjasama untuk membuktikan bahawa demokrasi masih dapat bersaing dan menang pada abad ke-21," katanya pada sidang media yang mematuhi penjarakan sosial di Rose Garden di Rumah Putih.

Satu kenyataan bersama menggesa perbincangan terbuka dengan China turut dikeluarkan selepas sidang kemuncak itu bagi meredakan ketegangan.

Antara lain, kedua-dua negara bimbang dengan pergerakan maritim China yang semakin meningkat menceroboh perairan negara lain, tindakannya di Hong Kong dan Xinjiang serta ketegangan semakin serius dengan Taiwan.

Kenyataan itu menegaskan bahawa Perjanjian Keselamatan AS-Jepun merangkumi tuntutan bertindih kepulauan Senkaku yang ditadbir Jepun, salah satu daripada beberapa kawasan di wilayah yang dipanggil Beijing sebagai Diaoyu.

"AS dan Jepun menyedari pentingnya pencegahan untuk menjaga keamanan serta kestabilan di rantau ini.

"Kami menentang segala usaha bersendirian mana-mana negara untuk mengubah status quo di Laut China Timur," menurut kenyataan itu.

Ketika Beijing meningkatkan kegiatan tentera di ruang udara Taiwan, Biden dan Suga menekankan kepentingan perdamaian dan kestabilan di Selat Taiwan serta mengesyorkan penyelesaian secara aman.

Kenyataan itu, yang dibuat secara berhati-hati, adalah kali pertama seorang pemimpin Jepun bergabung dengan presiden AS bagi mengeluarkan kenyataan bersama mengenai Taiwan.

Sidang kemuncak kedua Biden akan berlangsung bulan depan dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, yang juga sebahagian daripada strategi pentadbiran baharu untuk menjalin pakatan antarabangsa. - AFP

Berita Harian X