Rabu, 14 April 2021 | 7:55am
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

Keberkesanan vaksin Moderna turun sedikit kepada 90 peratus

WASHINGTON: Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna, mengumumkan bahawa vaksin COVID-19 keluarannya memiliki kadar keberkesanan 90 peratus bagi menangani sebarang bentuk jangkitan wabak itu.

Vaksin Moderna juga didapati merekodkan kadar keberkesanan 95 peratus dalam membendung jangkitan teruk.

Keputusan baharu itu diperoleh hasil ujian klinikal Fasa Ketiga membabitkan lebih 30,000 individu di seluruh AS.

Namun, angka keberkesanan utama vaksin itu dilihat sedikit merosot berbanding kadar 94.1 peratus yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England pada Disember lalu.

Angka terbaru itu dinilai berdasarkan 900 kes COVID-19 diambil kira dalam kajian setakat 9 April lalu, manakala kadar keberkesanan terdahulu membabitkan 185 kes.

Kenyataan media dikeluarkan syarikat itu tidak menyatakan sebarang perincian mengenai punca kemerosotan kadar keberkesanan vaksin Moderna.

Bagaimanapun, satu kemungkinan puncanya ialah kemunculan varian baharu COVID-19 yang dikhuatiri tidak dapat ditangani melalui pembentukan antibodi dalam kalangan penerima suntikan vaksin berkenaan.

Ketika ini, Moderna sedang merintis usaha ke arah penghasilan suntikan penggalak membabitkan dua varian khusus, malah kajian menggunakan tikus makmal menunjukkan wujud peningkatan tindak balas imun.

Hasil kajian saintifik berkenaan dimuat naik dalam talian dan kini menanti penelitian susulan pakar.

Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel, berkata data praklinikal baharu berhubung calon vaksin khusus yang dibangunkan syarikat berkenaan, memberi keyakinan dari segi keupayaan membendung penularan COVID-19 membabitkan kemunculan varian baharu.

Menurut syarikat itu lagi, setakat 12 April lalu, Moderna sudah mengedarkan 132 juta dos vaksinnya ke seluruh dunia, termasuk kira-kira 117 juta dos untuk AS.

Berdasarkan prestasi semasa, Moderna menjelaskan syarikat itu berupaya menepati jadual pengeluaran kedua membabitkan 100 juta dos menjelang akhir Mei depan dan diikuti 100 juta dos lagi, dua bulan kemudian.

Ujian klinikal Moderna terhadap individu berusia 12 hingga 17 tahun kini berjalan sepenuhnya dengan 3,000 peserta dalam kalangan warga AS.

Ujian pediatrik bagi kanak-kanak berumur enam bulan hingga 11 tahun pula sedang mendaftarkan 6,750 peserta di AS dan China. - AFP

Berita Harian X