Selasa, 30 March 2021 | 7:45am
Kanada tidak syorkan suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca untuk 55 tahun ke bawah. - Foto AFP
Kanada tidak syorkan suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca untuk 55 tahun ke bawah. - Foto AFP

Vaksin AstraZeneca tidak disyorkan untuk 55 ke bawah di Kanada

OTTAWA: Pakar Kanada semalam mengesyorkan menghentikan penggunaan suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca untuk mereka berusia di bawah 55 tahun, selepas sebilangan kecil pesakit di luar negara mengalami pembekuan darah.

Wilayah Manitoba dan Quebec adalah yang pertama melaksanakan garis panduan Jawatankuasa Penasihat Nasional Imunisasi dan Kesihatan (NACI) yang baharu itu, dengan setiap wilayah bertanggung jawab atas program imunisasi sendiri.

"Terdapat banyak ketidakpastian mengenai manfaat pemberian vaksin AstraZeneca kepada orang dewasa di bawah 55 tahun," kata timbalan ketua pegawai kesihatan awam Kanada, Howard Njoo, pada sidang akhbar.

"Pada masa ini, kami menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca kepada orang dewasa di bawah 55 tahun, sementara menunggu analisis risiko-manfaat lebih lanjut," katanya.

Sementara itu, pegawai menggesa warga Kanada yang telah menerima suntikan vaksin AstraZeneca dalam 20 hari terakhir supaya berjumpa doktor.

Doktor Health Canada dan NACI dalam taklimatnya memberitahu bahawa pengilang akan diminta untuk melakukan penilaian terperinci mengenai manfaat dan risiko vaksinnya berdasarkan usia dan jantina.

"Sehingga kini, tidak ada kes (pembekuan darah) yang dilaporkan di Kanada," kata ketua pegawai perubatan Kesihatan Kanada, Supriya Sharma.

"Namun, melalui kerjasama antarabangsa kami yang berterusan, Health Canada telah menyedari bahawa kes tambahan kejadian ini telah dilaporkan di Eropah," katanya.

NACI awal bulan ini mendesak supaya memberikan suntikan AstraZeneca hanya kepada mereka berusia 18 hingga 64 tahun, menyatakan ujian klinikal tidak cukup membabitkan golongan tua, kemudian menyemak cadangannya untuk memasukkan orang berusia 65 tahun ke atas selepas meninjau 'bukti dunia nyata' mengenai keberkesanannya terhadap warga emas.

Vaksin AstraZeneca diluluskan untuk digunakan di Kanada pada Februari, bersama-sama dengan suntikan vaksin Johnson & Johnson, Pfizer-BioNTech dan Moderna. - AFP

Berita Harian X