Jumaat, 12 March 2021 | 11:59am
Joe Biden (kiri) dan Yoshihide Suga.
Joe Biden (kiri) dan Yoshihide Suga.

Kebangkitan China: AS anjur sidang kemuncak 4 negara

WASHINGTON: Buat julung kalinya, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden hari menganjurkan sidang kemuncak dengan pemimpin Australia, India dan Jepun bagi memperkukuhkan pakatan berikutan kebimbangan kebangkitan kuasa China.

Jepun mengumumkan, Perdana Menteri Yoshihide Suga akan menjadi pemimpin asing pertama bertemu Biden secara langsung.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin juga akan mengadakan lawatan bersama minggu depan ke Jepun dan Korea Selatan dalam perjalanan pertama ke negara luar, sebelum meneruskan lawatan ke Austin dan India.

Blinken dan Penasihat Keselamatan Nasional AS, Jake Sullivan akan bertemu dengan pegawai tertinggi China minggu depan di Alaska dalam apa yang dijanjikan oleh pentadbiran Biden sebagai penyataan kebimbangan AS.

Sidang kemuncak empat hala hari ini yang diadakan secara maya itu menandakan pertama kalinya pemimpin AS, Jepun, India dan Australia bertemu selepas lebih sedekad pertemuan di peringkat rendah yang dikenali sebagai Quad.

Sidang kemuncak itu diadakan ketika keempat-empat negara itu melihat kemerosotan hubungan dengan China. China tahun lalu terbabit dalam pertempuran dengan pasukan tentera India di Himalaya, meningkatkan kegiatan berhampiran pulau ditadbir Jepun dan mengenakan sekatan terhadap produk Australia berikutan satu siri pertikaian.

Bagaimanapun, pentadbiran Biden secara berhati-hati untuk tidak menghubungkan Quad secara eksplisit dengan China - pergeseran retorik selepas bekas presiden Donald Trump mengecam Beijing.

Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price mengatakan bahawa Quad tidak tertumpu pada satu isu, termasuk China.

"Kami mempunyai kepentingan bersama untuk mempertahankan nilai sejagat dan hak. Kami mempunyai kepentingan ekonomi bersama. Kami mempunyai kepentingan keselamatan bersama. Kami mempunyai hubungan 'people-to-people' yang mendalam dengan semua negara ini, " kata Price.

"Itulah maksud Quad." - AFP

Berita Harian X