Isnin, 8 March 2021 | 11:20am
 Foto AFP
Foto AFP

Kesan COVID-19 dorong jutaan perkahwinan kanak-kanak - UNICEF

WASHINGTON: Menurut kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kesan COVID-19 boleh menyebabkan tambahan 10 juta perkahwinan kanak-kanak pada dekad ini.

Kajian bertajuk COVID-19: Ancaman kemajuan terhadap perkahwinan kanak-kanak menyatakan penutupan sekolah, tekanan ekonomi, gangguan perkhidmatan, kehamilan dan kematian ibu bapa akibat pandemik menjadikan kanak-kanak perempuan paling rentan dan berisiko terjebak dalam perkahwinan.

Kecenderungan itu, jika disahkan, akan membawa kemunduran serius dari segi kemajuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini terhadap perkahwinan kanak-kanak.

Menurut kajian itu, dalam 10 tahun terakhir peratusan gadis di dunia yang berkahwin menurun 15 peratus, iaitu satu daripada empat menjadi satu daripada lima.

"Kemajuan kini terancam," kata kajian itu yang dikeluarkan pada Hari Wanita Sedunia.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore, berkata COVID-19 menyebabkan keadaan yang lebih sukar bagi jutaan gadis seluruh dunia.

Sekolah yang ditutup, pengasingan daripada teman dan jaringan sokongan serta kemiskinan yang meningkat menambah lagi beban kepada dunia untuk menanganinya.

Kajian itu menyatakan, kanak-kanak perempuan yang berkahwin pada usia terlalu muda lebih cenderung mengalami keganasan rumah tangga dan cenderung untuk tidak bersekolah.

Mereka juga didapati menghadapi peningkatan risiko kehamilan awal dan tidak dirancang, serta komplikasi ketika melahirkan anak.

Selain itu, pengasingan daripada keluarga dan rakan-rakan boleh menyebabkan kesihatan mental lebih teruk.

Ditambah lagi dengan sekatan perjalanan yang berkaitan dengan pandemik dan jarak fizikal menjadikan kanak-kanak perempuan semakin sukar untuk mengakses penjagaan kesihatan, perkhidmatan sosial dan sokongan masyarakat yang melindungi mereka daripada perkahwinan kanak-kanak, kehamilan yang tidak diingini dan kekerasan dan menyebabkan mereka berhenti sekolah.

Kajian juga mendapati, keluarga yang menghadapi kesulitan ekonomi akan berusaha mengahwinkan anak perempuan mereka untuk meringankan beban kewangan.

Laporan itu menganggarkan bahawa 650 juta wanita muda berkahwin pada usia kanak-kanak, kira-kira separuh daripadanya di Bangladesh, Brazil, Ethiopia, India atau Nigeria.

Fore meminta negara untuk membuka semula sekolah, melaksanakan reformasi undang-undang, memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan sosial sambil memberikan langkah-langkah untuk melindungi keluarga. - AFP

Berita Harian X