Khamis, 25 Februari 2021 | 8:50am
Lawrence Paul Anderson. - Foto Oklahoma State Bureau of Investigations
Lawrence Paul Anderson. - Foto Oklahoma State Bureau of Investigations

Suspek kes bunuh masak jantung mangsa

WASHINGTON: Seorang lelaki yang didakwa melakukan tiga pembunuhan di Oklahoma, Amerika Syarikat (AS), memotong jantung seorang mangsa dan memasaknya bersama ubi kentang untuk disajikan kepada mangsa lain sebelum menyerang mereka.

Suspek, Lawrence Paul Anderson, didakwa mengeluarkan organ itu selepas menikam jirannya hingga mati, menurut laporan Oklahoma City News 4 TV dan akhbar di bandar itu, semalam.

Lelaki itu didakwa membawa jantung itu ke rumah bapa saudaranya untuk memasak organ itu dan cuba menghidangkannya kepada bapa saudara dan ibu saudaranya, kata penyiasat kepada Mahkamah Daerah Grady di Chickasha, kelmarin.

Anderson kemudian didakwa membunuh bapa saudaranya itu serta cucu mangsa berusia empat tahun, selain mencederakan ibu saudaranya dalam kejadian pada 9 Februari lalu.

"Suspek memasak jantung itu bersama kentang untuk disajikan kepada keluarganya bagi membebaskan syaitan," tulis seorang penyiasat dalam waran yang diberikan kepada mahkamah.

Jenayah ngeri itu berlaku beberapa minggu selepas Anderson dibebaskan daripada penjara untuk penggantian hukuman am oleh Gabenor Oklahoma, Kevin Stitt, selepas dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun pada 2017 atas kesalahan berkaitan dadah.

Menurut laporan media, Anderson mengaku bersalah melakukan pembunuhan itu di mahkamah, kelmarin. - AFP

Berita Harian X