Rabu, 24 Februari 2021 | 8:11am
Pelapor khas PBB, Agnes Callamard. - Foto AFP
Pelapor khas PBB, Agnes Callamard. - Foto AFP

Iran didakwa berbohong kes tembakan pesawat Ukraine

PBB, AMERIKA SYARIKAT: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mendakwa Iran menipu ketika menjelaskan tindakan menembak jatuh pesawat Ukraine tahun lalu di tengah-tengah ketegangan hubungan negara itu dengan Amerika Syarikat (AS).

Pada 8 Januari 2020, pesawat Ukraine International Airlines terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang utama ibu negara Iran dan mengorbankan kesemua 176 penumpang termasuk 55 warga Kanada.

Tiga hari selepas tragedi berkenaan, Republik Islam itu mengaku tenteranya secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat berkenaan dengan menggunakan dua peluru berpandu.

Pelapor khas PBB, Agnes Callamard, yang menyiasat kes berkenaan mendakwa terdapat banyak percanggahan berhubung penjelasan Iran.

"Apa yang paling sukar adalah penjelasan oleh pihak berkuasa Iran mengenai kesalahan itu yang tidak konsisten.

"Mengapa Iran menipu? Disebabkan tidak ada istilah lain yang boleh digunakan," katanya kepada wartawan.

Tambahnya, penjelasan Iran berhubung kes itu bukan sahaja bercanggah daripada aspek fakta, tetapi turut merangkumi penilaian teknikal oleh pelbagai pakar berkaitan.

Callamard turut berkata, Iran juga gagal untuk menjelaskan bagaimana tenteranya boleh melakukan kesilapan besar dengan menembak jatuh pesawat berkenaan.

Katanya, kesalahan "membunuh secara tidak sengaja" turut terpakai dalam undang-undang antarabangsa dan penghakiman akan menilai jenayah itu sama ada ia dilakukan tanpa niat atau sebaliknya.

"Pada pandangan saya mengikut undang-undang antarabangsa, dakwaan Iran bahawa kesalahan itu dilakukan secara tidak sengaja tidak boleh digunakan bagi pembelaan," katanya.

Untuk rekod, tragedi itu berlaku ketika ketegangan antara Iran dan AS berada di puncak berikutan serangan dron tentera AS dekat lapangan terbang Baghdad yang mengorbankan komander tertinggi Iran, Qasem Soleimani. - AFP

Berita Harian X