Selasa, 23 Februari 2021 | 6:17pm
Puluhan pesawat Boeing 777 dihentikan operasi di seluruh dunia berikutan insiden membabitkan pesawat United Airlines yang mengalami kerosakan enjin. - Foto EPA
Puluhan pesawat Boeing 777 dihentikan operasi di seluruh dunia berikutan insiden membabitkan pesawat United Airlines yang mengalami kerosakan enjin. - Foto EPA

Boeing gantung operasi Boeing 777

NEW YORK: Puluhan pesawat Boeing 777 dihentikan operasi di seluruh dunia semalam berikutan insiden hujung minggu membabitkan pesawat United Airlines yang mengalami kerosakan enjin dan menyebabkan serpihan jatuh di pinggir bandar Denver.

Kejadian itu memaksa pesawat berpatah balik ke Denver selepas sebahagian enjin terbakar dan pecah, mendorong United Airlines dan syarikat penerbangan lain menghentikan operasi pesawat sama yang mempunyai jenis enjin Pratt & Whitney.

Walaupun tidak ada yang cedera dalam insiden di Denver, episod itu adalah satu tamparan terbaru untuk Boeing, yang baru-baru ini menyambung semula operasi pesawat Boeing 737 MAX yang lama digantung berikutan berlaku dua kemalangan maut.

Pakar penerbangan menyatakan, kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai Pratt & Whitney dan penyelenggaraan enjin United Airlines.

"Tidak ada yang seperti MAX," kata penganalisis penerbangan Teal Group, Richard Aboulafia.

"Selepas bertahun-tahun operasi, ia pasti bukan masalah reka bentuk enjin, pastinya ia berkaitan dengan penyelenggaraan," katanya.

Kejadian Denver menyusul insiden Boeing 777 Japan Airlines pada Disember lalu yang membabitkan jenis enjin yang sama, dan juga masalah enjin pada bulan Februari 2018 membabitkan penerbangan United Airlines.

"Mungkin membabitkan isu sama di antara tiga insiden itu tetapi sehingga siasatan selesai, kami masih tidak mengetahuinya," kata Scott Hamilton dari Leeham News, sebuah laman berita penerbangan.

Boeing menyatakan bahawa semua 128 daripada pesawat 777 dengan enjin Pratt & Whitney digantung operasi selepas penerbangan United Airlines 328 ke Hawaii mendarat cemas Sabtu lalu.

Rakaman video dari dalam pesawat United Airlines yang membawa 231 penumpang dan 10 anak kapal, menunjukkan enjin kanan terbakar dan bergoyang pada sayap Boeing 777-200.

Penduduk di pinggir bandar Denver, Broomfield menemui sejumlah serpihan pesawat di sekitar kawasan mereka.

Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan pemeriksaan tambahan selepas kejadian itu.

Ketua FAA, Steve Dickson menyatakan semakan awal data keselamatan menunjukkan perlunya pemeriksaan tambahan bilah kipas enjin jet yang unik dan hanya digunakan untuk model 777. - AFP

Berita Harian X