Rabu, 10 Februari 2021 | 5:10pm
Tessica Brown. - Foto Agensi
Tessica Brown. - Foto Agensi

Derita gara-gara gayakan rambut guna gam ekstra kuat

NEW YORK: Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan gam ekstra kuat untuk menggayakan rambutnya, menderita apabila ia kekal terlekat sejak sebulan lalu.

Malah, Tessica Brown yang tinggal di Louisiana, sudah mengumpulkan sumbangan lebih AS$15,000 sebagai pembiayaan untuk kemungkinan terpaksa menjalani pembedahan berikutan keadaannya itu.

Dalam satu rakaman video TikTok, minggu lalu, Brown menjelaskan beliau menggunakan semburan pelekat 'Gorilla Glue' selepas kehabisan produk yang biasa digunakannya.

"Idea yang teruk, teruk, teruk. Rambut saya telah berada dalam keadaan ini sejak kira-kira sebulan lalu. Ia bukan kehendak saya," katanya sambil menahan sebak.

Brown berkata, beliau sudah mencuba pelbagai losen dan produk, termasuk syampu serta minyak kelapa, untuk menanggalkan gam berkenaan tetapi gagal.

Kisah beliau itu menjadi tular sehingga menarik perhatian pengguna media sosial yang mencadangkan pelbagai jalan penyelesaian kepada masalahnya itu.

Malah, pereka gaya rambut Beyonce, Neal Farinah, turut memberikan nasihat untuk cuba membantu.

Menurut maklumat dalam laman web Gorilla Glue, gam kimia itu yang mengandungi acetone dan propane serta 100 peratus kalis air, bagus untuk kegunaan pada kayu dan lamina.

Namun, ia boleh mengakibatkan keradangan teruk jika terkena kulit.

Pada Sabtu lalu, Brown memuat naik gambar menunjukkan beliau berada di sebuah hospital di Louisiana yang diharap dapat membantu mengatasi masalahnya itu tetapi masih gagal.

"Ini benar-benar akan mengambil proses yang panjang," tulisnya dalam Instagram.

Gorilla Glue dalam satu kenyataan melalui Twitter berkata, pihaknya amat bersimpati berhubung insiden malang itu.

"Ia adalah situasi yang unik kerana produk ini bukan untuk kegunaan pada rambut berikutan kesan kegunaannya dianggap kekal," menurut kenyataan itu.

Susulan itu, Brown memulakan kempen mengutip derma membiayai kos perubatan untuk rawatannya dan sudah memperoleh lebih AS$15,000, setakat semalam.

TMZ pula melaporkan, Brown akhirnya berjaya memotong 'ekor kudanya' tetapi rambut yang terlekat pada kulit kepala tetap keras.

Menurut laman web itu lagi, seorang pakar pembedahan plastik di Los Angeles, Michael Obeng, menawarkan diri untuk membantu Brown. - AFP

Berita Harian X