Isnin, 8 Februari 2021 | 7:25am
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden melambaikan tangan dari pesawat Air Force One sebelum berlepas dari Pangkalan Udara Andrews di Maryland pada 5 Februari 2021. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden melambaikan tangan dari pesawat Air Force One sebelum berlepas dari Pangkalan Udara Andrews di Maryland pada 5 Februari 2021. - Foto AFP

AS tidak akan tarik balik sekatan sehingga Iran patuhi perjanjian nuklear

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan beliau tidak akan menarik balik sekatan terhadap Iran selagi republik Islam itu tidak mematuhi komitmen perjanjian nuklearnya.

Ketika ditanya adakah beliau akan menghentikan sekatan bagi meyakinkan Iran untuk kembali ke meja rundingan, Biden dengan tegas mengatakan "Tidak" ketika di wawancara CBS yang disiarkan semalam.

Beliau kemudian mengangguk apabila ditanya sama ada pihak Iran yang perlu terlebih dahulu berhenti memperkayakan uranium.

Perjanjian 2015 digantung sejak keputusan Donald Trump untuk menarik diri pada 2018 dan mengenakan sekatan ke atas Teheran.

Setahun kemudian, Teheran menggantung pematuhan terhadap komitmen perjanjian nuklear itu.

Pentadbiran Biden menyatakan kesediaan untuk kembali ke meja rundingan tetapi menegaskan bahawa Teheran perlu terlebih dahulu kembali mematuhi sepenuhnya.

Pada 4 Januari, Iran mengumumkan keputusan mereka meningkatkan proses pengayaan uranium menjadi 20 peratus jauh di atas tahap 3.67 peratus yang dibenarkan oleh perjanjian itu, tetapi jauh di bawah jumlah yang diperlukan untuk bom atom. - AFP

Berita Harian X