X
Khamis, 28 Januari 2021 | 11:49am
AS di bawah pentadbiran Biden mula memberi amaran kepada China dalam isu perluasan di rantau Asia Pasifik. FOTO AFP
AS di bawah pentadbiran Biden mula memberi amaran kepada China dalam isu perluasan di rantau Asia Pasifik. FOTO AFP

AS beri amaran kepada China isu perluasan di rantau Asia Pasifik

WASHINGTON: Seminggu selepas memegang jawatan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menghantar amaran jelas kepada Beijing terhadap sebarang hasrat perluasan di Asia Timur dan Asia Tenggara.

Biden dan pegawai keselamatan tertinggi negara itu dalam pelbagai kenyataan turut memberikan sokongan kepada Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, sekali gus menjadi isyarat Washington menolak tuntutan China ke atas wilayah dipertikaikan di kawasan itu.

Semalam, Biden menjelaskan kepada Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga yang pentadbirannya komited mempertahankan Jepun, termasuk Pulau Sensaku yang dituntut Jepun dan China, yang dipanggil Beijing sebagai Pulau Diaoyu.

Pendirian itu disuarakan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin kepada rakan sejawatnya dari Jepun, Nobuo Kishi pada Sabtu, yang pulau menjadi rebutan itu dilindungi mengikut Perjanjian Keselamatan AS-Jepun.

Austin menegaskan AS tetap menentang segala usaha unilateral untuk mengubah status quo di Laut China Timur, menurut kenyataan Pentagon.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara, Ned Price memberi amaran kepada China berhubung ancaman terhadap Taiwan selepas berulang kali menghantar lebih puluhan tentera dan pengebom ke zon pertahanan udara pulau itu.

"Kami akan bersama rakan dan sekutu untuk meningkatkan keamanan serta nilai kemakmuran bersama di wilayah Indo-Pasifik dan ia termasuk mempererat hubungan kami dengan Demokratik Taiwan.

"Komitmen kami kepada Taiwan amat teguh," kata Price dalam satu kenyataan.

Kenyataan lain turut menekankan pentadbiran baharu Biden tidak akan menyimpang daripada pendirian keselamatan yang tegas terhadap China, yang diwarisi daripada bekas presiden, Donald Trump.

Washington sekian lama berpihak kepada rakan sekutunya seperti Korea Selatan, Jepun, Vietnam, Filipina dan Malaysia dalam menolak tuntutan wilayah yang dipertikaikan oleh China di Laut China Timur dan Laut China Selatan.

Pentadbiran Trump sebelum ini meningkatkan ketegasan menolak tindakan China itu apabila Setiausaha Negara ketika itu, Mike Pompeo mengisytiharkan kebanyakan tuntutan maritim Beijing di Laut China Selatan tidak mengikut perundangan sepenuhnya. - AFP

Berita Harian X