Khamis, 14 Januari 2021 | 10:05am
 Vaksin COVID-19 Moderna antara yang dibekalkan kepada penduduk Amerika Syarikat. - Foto AFP
Vaksin COVID-19 Moderna antara yang dibekalkan kepada penduduk Amerika Syarikat. - Foto AFP

Lebih 10 juta penduduk AS terima suntikan vaksin COVID-19

WASHINGTON: Lebih 10 juta penduduk Amerika Syarikat (AS) sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19, menurut data rasminya sehingga semalam dan jumlah itu masih tidak menepati sasaran program vaksinasi negara itu.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), sebanyak 29,380,125 dos vaksin Pfizer dan Moderna diagihkan ke negara berkenaan, dengan 10,278,462 penduduk diberikan dos pertama.

Jumlah itu mewakili kira-kira 3.1 peratus daripada 330 juta penduduk AS, dan vaksin berkenaan belum tersedia untuk kanak-kanak.

Setakat ini, AS adalah negara paling tinggi memberikan vaksin kepada rakyatnya berbanding negara Eropah lain, namun ia tetap tidak mencapai sasaran pihak berkuasa kesihatan negara itu yang menyasarkan hingga 20 juta orang diberikan vaksin sebelum akhir tahun lalu.

Mengikut peratusan penduduk yang diberikan vaksin, Israel mendahului senarai negara dunia diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Britain dan AS.

Sebagai langkah memperluaskan akses vaksin COVID-19, Kerajaan Persekutuan, berkata mereka akan mula membenarkan pengeluar mengeluarkan semua dos yang ada mulai minggu ini berbanding melepaskan mengikut tempahan.

Ini menandakan perubahan rancangan awal sebelumnya di mana dos kedua ditangguhkan bagi mereka yang menerima suntikan pertama, bagi memastikan tiada kelewatan.

Vaksin Pfizer dan Moderna memerlukan tempoh penggalak masing-masing selepas tiga dan empat minggu.

"Beberapa negeri dipersalahkan berikutan pada awalnya terlalu banyak preskriptif dalam mengagihkan bekalan vaksin menyebabkan dos yang tidak digunakan dalam peti sejuk beku atau terpaksa dibuang kerana melepasi tempoh luput.

"Di antara negeri-negeri, tiada standard temujanji penjadualan vaksin sekali gus mengelirukan penduduk mengenai bila dan di mana mereka boleh mendapatkan vaksin," kata pakar kesihatan awam di University of California, Riverside, Andrea Polonijo kepada AFP.

Kerajaan Persekutuan kini mengesyorkan negeri memberikan suntikan vaksin kepada penduduk berusia lebih 65 tahun tanpa mengambil kira keadaan kesihatan mereka.

AS menjadi negara paling teruk di dunia dengan lebih 382,000 kematian dan berdepan lonjakan kematian harian iaitu lebih 4,000 orang meninggal dunia semalam.

Pakar epidemiologi bimbang keadaan menjadi lebih teruk jika varian baharu yang lebih mudah dijangkiti dikesan di AS. - AFP

Berita Harian X