Jumaat, 8 Januari 2021 | 10:19am
Jururawat yang lengkap dengan set peralatan perlindungan diri (PPE) sedang merawat pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Komuniti Martin Luther King Jr. Los Angeles, California. - Foto AFP
Jururawat yang lengkap dengan set peralatan perlindungan diri (PPE) sedang merawat pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Komuniti Martin Luther King Jr. Los Angeles, California. - Foto AFP

COVID-19: AS catat rekod hampir 4,000 kes kematian sehari

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merekodkan 4,000 kes kematian sehari, menurut data John Hopkins University.

Sebanyak 3,998 kes kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam di negara itu dengan 265,246 kes jangkitan COVID-19 baharu bagi tempoh sama.

Sementara itu, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini menghampiri 88 juta.

Data terbaru Johns Hopkins University menunjukkan, ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah terkini 87,941,154 kes positif global.

Amerika Syarikat kekal mendahului sebagai negara paling teruk terjejas dengan 21,538,021 kes, diikuti India 10,395,278 kes, Brazil 7,961,673 kes, Russia 3,297,833 kes, manakala United Kingdom (UK), Perancis, Turki, Itali dan Sepanyol melepasi angka dua juta.

Jerman, Colombia, Argentina, Mexico, Poland, Iran, Afrika Selatan, Ukraine dan Peru pula antara negara yang merekodkan angka lebih sejuta kes.

Sementara itu, Belanda, Indonesia, Romania, Belgium, Kanada, Iraq dan Bangladesh pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Negara dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 kes termasuk Pakistan, Filipina, Switzerland, Sweden, Maghribi, Portugal, Austria, Arab Saudi, Serbia, Hungary dan Jordan.

Sebanyak 39 negara lain merekodkan kes positif COVID-19 antara 100,000 dan 300,000, termasuk Malaysia.

Pada masa sama, angka kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia kini menghampiri 1.9 juta iaitu sebanyak 1,895,814.

AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 364,735 kes, diikuti Brazil (200,498), India (150,336) dan Mexico (129,987) yang merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk United Kingdom, Itali, Perancis, Russia, dan Iran manakala negara yang merekodkan antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian adalah Sepanyol, Colombia, Argentina, Jerman dan Peru.

Indonesia, Turki dan Ukraine pula mencatatkan lebih 20,000 kes kematian sementara kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes. - AFP

Berita Harian X