Isnin, 28 Disember 2020 | 10:00am
(Gambar fail) President Amerika Syarikat, Donald Trump. - FOTO AFP
(Gambar fail) President Amerika Syarikat, Donald Trump. - FOTO AFP

Trump tandatangan RUU pakej bantuan COVID-19 AS$900 bilion

WEST PALM BEACH (AMERIKA SYARIKAT): Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, akhirnya menandatangani rang undang-undang (RUU) pakej bantuan COVID-19 berjumlah AS$900 bilion, semalam.

Trump mengambil langkah itu selepas bertangguh selama hampir seminggu untuk menandatanganinya sehingga mencetuskan tekanan daripada pelbagai pihak.

Perkembangan itu bakal memberi manfaat kepada jutaan rakyat AS dan perniagaan yang bergelut dengan cabaran getir akibat pandemik berkenaan.

Pakej 'memperuntukkan bantuan dan tindak balas kecemasan' susulan penularan COVID-19 itu adalah sebahagian daripada RUU perbelanjaan di mana dengan tandatangan Trump untuk meluluskannya, pentadbiran Kerajaan AS dapat dielak daripada terpaksa ditutup, esok.

"Saya menandatangani RUU ini bagi memulihkan faedah pengangguran, menghentikan pengusiran, menyediakan bantuan sewa, menambah wang untuk PPP (Program Perlindungan Gaji), membolehkan kakitangan sektor penerbangan kembali bekerja, menambah wang untuk pengagihan vaksin, dan banyak lagi," kata Trump.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, ketika masih bercuti sempena sambutan Krismas di Resort Mar-a-Lago di Florida.

Sebelum ini, Trump enggan menandatangani RUU terbabit yang disifatkannya sebagai 'memalukan'.

Senator berpengaruh daripada Republikan, Mitt Romney, mengaku 'lega' dengan tindakan Trump menandatangani RUU itu.

"Bantuan bakal disalurkan kepada pekerja, keluarga dan perniagaan kecil yang kini berada dalam keadaan amat terdesak di seluruh negara," ciap Romney.

Semalam, beliau menggesa Trump supaya 'segera menandatangani atau memberi veto terhadap pakej bantuan COVID-19 supaya Kongres dapat bertindak sebelum terlambat.'

Pakej rangsangan baharu itu antara lain memperluaskan bantuan persekutuan kepada penganggur hingga pertengahan Mac depan.

Selain itu, menyediakan pinjaman terjamin serta bantuan berbilion dolar kepada syarikat kecil, restoran, hotel, syarikat penerbangan dan lain-lain syarikat.

Ia juga melanjutkan moratorium terhadap pengusiran mereka yang tidak dapat membayar sewa, menangguhkan penyitaan dan menyediakan dana untuk pengagihan vaksin COVID-19. - AFP

Berita Harian X