Sabtu, 19 Disember 2020 | 7:45pm

AS 'lebih tegas' bersemuka ancaman China di Pasifik

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) Khamis lalu memberi amaran bahawa kapal perangnya akan 'lebih tegas' dalam tindak balas terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Dalam satu dokumen menetapkan objektif untuk Tentera Laut AS, Marin dan Pengawal Pantai bagi tahun akan datang, amaran itu ditujukan khusus kepada China yang kini giat memperluaskan tuntutan wilayah di Laut China Selatan

Pentagon berkata beberapa negara, terutama Russia dan China, 'sedang menggugat keseimbangan kuasa di wilayah penting dan cuba menghapuskan aturan dunia yang sedia wujud.

"Tentera laut kami yang dikerahkan ke seluruh dunia berinteraksi dengan kapal dan pesawat perang China serta Russia setiap hari.

"Peningkatan sikap agresif mereka dapat dirasai, terutama China, yang kami anggap sebagai ancaman strategik jangka panjang yang paling membimbangkan," katanya.

Kes terbaru membabitkan tentera laut AS dan China berlaku pada akhir Ogos lalu, apabila Beijing mendakwa ia mengusir kapal perang AS dari kepulauan Paracel yang menjadi pertikaian.

Kuasa Asia itu menuntut hampir semua pulau di Laut China Selatan selain tuntutan wilayah bertindih yang dipertikaikan beberapa negara serantau lain termasuk Vietnam, Malaysia, Filipina dan Brunei.

Untuk berdepan China, AS menghantar kapal tenteranya ke wilayah itu dengan lebih kerap bagi melaksanakan apa yang dipanggil operasi 'kebebasan pelayaran'.

AS juga mahu mengekalkan kelebihan strategik terhadap Angkatan Tentera Laut China, yang kekuatan tempurnya bertambah tiga kali ganda dalam tempoh hanya dua dekad.

Sehubungan itu, Tentera Laut AS merancang memodenkan pasukannya dengan kapal yang lebih kecil, tangkas dan boleh dikemudi dari jarak jauh.

Kapal AS juga akan menilai risiko taktikal yang boleh diambil dan bersikap lebih tegas dalam operasi harian mereka.

Menurut dokumen Pentagon itu lagi, Tentera Laut AS akan 'lebih kelihatan' di Pasifik bagi mengesan dan merekodkan tindak tanduk saingannya yang melanggar undang-undang antarabangsa, mencuri sumber dan mencabar kedaulatan negara lain. - AGENSI

Berita Harian X