Sabtu, 19 Disember 2020 | 8:12am
Serangan penggodam yang meningkat meningkatkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan komputer. FOTO AFP
Serangan penggodam yang meningkat meningkatkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan komputer. FOTO AFP

Serangan penggodam komputer meningkat di seluruh dunia

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo mengesahkan Russia terbabit dalam serangan siber yang berlaku pada beberapa agensi kerajaan negara itu.

"Wujud usaha yang siginifikan untuk menggunakan perisian pihak ketiga untuk memecah kod dalam sistem kerajaan AS.

"Saya fikir ia adalah kes yang saya boleh sahkan pihak Russia terbabit dalam aktiviti ini (serangan siber)," katanya dalam rancangan The Mark Levin Show, semalam.

Terdahulu, Microsoft mendakwa, pihaknya menerima aduan daripada lebih 40 pelanggan mendakwa diserang malware dan pakar keselamatan mengesyaki perbuatan dilakukan penggodam mempunyai hubungan dengan Russia.

"Sekitar 80 peratus pelanggan ini berada di AS. Setakat ini kami berusaha mengenalpasti mangsa di tujuh lagi negara," kata Presiden Microsoft, Brad Smith dalam hantaran di blognya semalam.

Smith berkata, mangsa penggodam dikenalpasti di Belgium, Britaih, Kanada, Israel, Mexico, Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Sudah pasti jumlah dan lokasi mangsa akan terus bertambah," kata Smith yang menyuarakan kebimbangan seperti dibangkitkan pegawai AS minggu ini berhubung ancaman serius penggodam.

Peningkatan serangan siber terhadap agensi kerajaan AS dan di seluruh dunia menyaksikan bilangan yang menjadi mangsa penggodam bertambah.

Penyelidik menyifatkan perkembangan situasi itu meningkatkan lagi kebimbangan terhadap tahap keselamatan komputer dan risiko aktiviti pengintipan.

Serangan siber itu dilakukan penggodam menerusi malware yang membolehkan penggodam mengakses rangkaian komputer yang tidak dilindungi.

John Dickson dari firma keselamatan Kumpulan Denim pula berkata, banyak sektor swasta yang berisiko terdedah kepada serangan siber supaya meningkatkan tahap keselamatan dengan membina semula sistem pelayan dan perkakasan lain.

"Semua orang terdedah kepada ancaman kerana ia (serangan siber) sangat besar. Ini tamparan hebat terhadap keyakinan kerajaan dan infrastruktur kritikal," kata Dickson.

Serangan siber ini disyaki menyebarkan malware ke dalam jaringan komputer menggunakan perisian rangkaian pengurusan perniagaan yang dicipta SolarWinds, berpangkalan di Texas.

Sementara itu, Agensi Keselamatan Nasional (NSA) menggesa semua agensi keselamatan AS pihak meningkatkan tahap berjaga-jaga dan waspada bagi mencegah pencerobohan akses ke dalam sistem keselamatan dan ketenteraan utama.

Penganalisis mengatakan, serangan berkenaan menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara dengan menceroboh ke dalam sistem rangkaian kerajaan, menimbulkan risiko kepada kawalan sistem infrastruktur utama seperti grid kuasa elektrik dan utiliti lain.

Agensi Keselamatan Siber dan Keselamatan Siber AS (CISA) berkata, agensi kerajaan, entiti infrastruktur kritikal dan organisasi sektor swasta menjadi sasaran 'penggodam yang maju dan berterusan'. - AFP

Berita Harian X