Sabtu, 12 Disember 2020 | 8:14am
AS beli 100 juta dos vaksin dari Moderna untuk bekalan tahun depan. FOTO AFP
AS beli 100 juta dos vaksin dari Moderna untuk bekalan tahun depan. FOTO AFP

AS beli 100 juta dos vaksin tambahan

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dilaporkan akan membeli lagi 100 juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan Moderna, susulan laporan mendakwa negara itu melepaskan peluang mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin Pfizer.

Perjanjian itu menjadikan jumlah keseluruhan dos vaksin Moderna dibeli AS kepada 200 juta, cukup untuk 100 juta individu yang akan menerima dua dos setiap seorang.

"Mendapatkan tambahan 100 juta dos daripada Moderna menjelang Jun 2021, memperluaskan bekalan dos kita bagi portfolio Operasi 'Warp Speed'," kata Setiausaha Kesihatan dan Kemanusiaan, Alex Azar.

Satu kenyataan oleh firma bioteknologi berpusat di New York itu memaklumkan, tempahan baharu vaksin akan dihantar pada suku kedua tahun depan, manakala tempahan pertama akan diselesaikan menjelang suku pertama.

Jumlah keseluruhan peruntukan Persekutuan untuk vaksin Moderna mRNA-1273, yang dibangunkan bersama Institut Kebangsaan untuk Kesihatan (NIH), kini mencecah AS$4.1 bilion.

Perjanjian terbaru itu dimaklumkan selepas media melaporkan AS memutuskan untuk tidak menambah tempahan vaksin Pfizer-BioNTech melebihi 100 juta dos yang sudah ditempah sebelum ini, membolehkan negara lain membelinya.

Kelulusan segera dijangka akan diberikan kepada vaksin Pfizer, yang juga memerlukan dua dos bagi seorang individu, selepas jawatankuasa pakar bebas mengundi untuk mendapatkan vaksin itu, kelmarin.

Panel pakar bebas itu juga dijangka bertemu pada 17 Disember ini untuk membincangkan vaksin Moderna-NIH, dan kelulusan segera dijangka menyusul selepas itu.

Vaksin berkenaan dilaporkan memiliki keberkesanan sehingga 94.1 peratus dalam ujian klinikal membabitkan 30,000 individu. AFP

Berita Harian X