Selasa, 17 November 2020 | 3:11pm
(Gambar fail) Donald Trump - FOTO AFP
(Gambar fail) Donald Trump - FOTO AFP

Trump didakwa bertanya kemungkinan serang tapak nuklear Iran - Laporan

WASHINGTON: Donald Trump didakwa bertanya mengenai kemungkinan untuk menyerang kemudahan nuklear Iran, ketika hanya berbaki dua bulan lagi sebelum beliau dijadual meninggalkan Rumah Putih, lapor akhbar The New York Times, semalam.

Menurut laporan akhbar itu, Trump didakwa bertanya sama ada beliau mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan ke atas tapak nuklear utama Iran dalam minggu-minggu akan datang.

Trump didakwa bertanya sedemikian kepada beberapa pembantu utama beliau, termasuk Naib Presiden, Mike Pence; Setiausaha Negara, Mike Pompeo; dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Mark Milley.

Namun, menurut laporan itu, pegawai kanan terbabit dikatakan meminta Trump supaya tidak melancarkan serangan tentera itu, sambil memberi amaran bahawa langkah sedemikian boleh meningkatkan konflik lebih meluas menjelang akhir pentadbiran beliau.

Trump didakwa bertanya perkara itu berikutan laporan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bahawa Iran berterusan menyimpan stok uranium. - AFP

Berita Harian X