X
Rabu, 11 November 2020 | 1:46pm

Cabaran logistik menanti agihan vaksin COVID-19

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mungkin menjadi negara pertama menggerakkan operasi vaksin terbesar dalam sejarah dengan mengagih dan menguruskan sehingga 600 juta dos vaksin COVID-19 hanya dalam beberapa bulan.

Kempen vaksin yang besar bukan baharu, ia sudah dilaksanakan sejak puluhan tahun lalu, antaranya ketika usaha melawan virus influenza dan campak.

Namun, dalam memerangi COVID-19 pastinya menjadi cabaran baharu yang berbeza kerana tiga faktor iaitu tempoh jangka masa pendek bagi melakukan vaksin ke atas jumlah yang besar, memerlukan dua dos suntikan bagi setiap pesakit dan perlu disimpan di suhu sejuk melampau.

Vaksin dibangunkan gergasi farmaseutikal AS, Pfizer dan Jerman, BioNTech, dalam landasan menjadi yang pertama diluluskan untuk digunakan di AS, perlu disimpan pada suhu -70 darjah celsius, sedangkan vaksin influenza boleh disimpan dalam peti sejuk biasa.

Vaksin Pfizer yang diagihkan di AS dihasilkan dari pelan pembuatan terbesarnya di Kalamazoo, Michigan. Penghantarannya pula akan membabitkan pesawat, kontena dan treler dengan jangka waktu yang tepat.

Setiap bekas penghantaran perlu diisi ais kering dengan setiap satunya mengandungi lima dos vaksin. Setiap hari, enam trak akan membawa semua dos itu ke syarikat penghantaran seperti FedEx, UPS atau DHL, yang akan membawanya ke seluruh AS dalam satu atau dua hari, serta ke seluruh dunia dalam tiga hari, kata Pfizer kepada AFP.

Syarikat itu menjangkakan purata 20 penerbangan kargo setiap hari ke seluruh dunia. FedEx perlu mendapatkan kebenaran khas daripada pihak berkuasa penerbangan untuk menghantar ais kering yang banyak, kerana berisiko pada krew penerbangan jika ia melalui proses 'pemejalwapan' (perubahan daripada pepejal ke wap tanpa melalui fasa cecair) secara tidak sengaja.

Apabila semua bekas itu sampai ke lokasi terakhir, ia boleh dibuka hanya untuk sementara waktu hanya dua kali sehari.

"Jika ia diuruskan di klinik vaksinasi yang besar, maka tidak menjadi masalah," kata Pakar Pandemik di North Carolina State University, Julie Swann.

Namun, katanya, vaksin itu tidak sesuai untuk diagihkan di pejabat doktor atau farmasi kerana ia terlalu kecil.

"Sekurang-kurangnya di peringkat permulaan, rakyat AS perlu ke hospital atau pusat agihan besar yang diwujudkan di ruangan parkir yang luas seperti lokasi saringan COVID-19," katanya.

Vaksin itu boleh kekal dalam bekas masing-masing selama dua minggu, bermakna pihak hospital tidak memerlukan peti sejuk khas.

"Buat masa ini, kami tidak menyarankan hospital atau klinik membeli peralatan sejuk beku," kata Janell Routh dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit.

Gergasi bioteknologi AS, Moderna turut membangunkan vaksin, yang boleh disimpan pada suhu -20 darjah celsius, iaitu suhu peti sejuk biasa.

Kerajaan AS sedang mengusahakan agihan vaksin itu secara percuma ke seluruh negeri dan wilayah di negara berkenaan, dengan setiap mereka akan memutuskan bagaimana ia diagihkan ke hospital, farmasi, doktor atau universiti dan syarikat yang akan mengagihkan dos itu, sama seperti kaedah digunakan ketika pandemik influenza H1N1 pada 2009.

"Kerajaan Persekutuan tidak berhasrat menyentuh walau satu dos vaksin sebelum ia sampai kepada rakyat AS, kecuali mungkin dalam kes tertentu," kata pihak berkuasa Operasi Warp Speed, Paul Mango.

Objektif ketika ini adalah mengagihkan vaksin kepada kumpulan paling berisiko menjelang hujung Disember, kepada petugas kesihatan sebelum hujung Januari dan kepada semua rakyat AS menjelang awal April.

Pfizer menjangkakan akan menghasilkan 50 juta dos tahun ini dan 1.3 bilion menjelang 2021. AS sudah memesan 100 juta, termasuk 20 hingga 30 juta untuk dihantar sebelum hujung Disember.

Dalam pada itu, Kesatuan Eropah (EU) memesan 200 juta, Jepun 120 juta, Britain 30 juta dan Kanada 20 juta.

Moderna, AstraZeneca, Johnson & Johnson, Sanofi dan lain-lain berharap vaksin mereka selamat dan berkesan, yang akan disusuli pengagihan peringkat global.

DHL menjangkakan 15 juta kotak sejuk perlu dihantar dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan anggaran 15,000 penerbangan ke seluruh dunia diperlukan.

Negara miskin yang kekurangan kapasiti penyimpanan untuk kuantiti vaksin yang besar dan memerlukan simpanan sejuk beku, mungkin tidak menerima manfaat daripada dos pertama, kata Prashant Yadav, pakar rantaian bekalan kesihatan global di Pusat Pembangunan Global.

Peti sejuk beku yang boleh mencecah suhu -80 darjah celsius berharga lima kali ganda berbanding peti sejuk biasa dan hanya dibuat berdasarkan pesanan, katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X