Sabtu, 7 November 2020 | 10:12am
Gambar fail menunjukkan pesawat UIA terhempas selepas terkena tembakan tentera Iran, Januari lalu. FOTO AFP
Gambar fail menunjukkan pesawat UIA terhempas selepas terkena tembakan tentera Iran, Januari lalu. FOTO AFP

Iran digesa segera siasat insiden salah tembak pesawat Ukraine

MONTREAL: Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menggesa Iran mempercepatkan siasatan berhubung insiden tersalah tembak pesawat penumpang Ukraine International Airlines (UIA) pada Januari lalu.

Presiden Majlis ICAO, Salvatore Sciacchitano, berkata pihaknya mendesak Iran melakukan siasatan segera kemalangan itu berdasarkan peruntukan Pasukan Penyiasat Annex 13 ICAO.

"Kami melakukan beberapa pertukaran dengan pihak berkuasa penerbangan awam Iran dan kami mahu mereka segera menyiasat kemalangan itu mengikut Annex 13 ICAO," katanya.

Pasukan Penyiasat Annex 13 menetapkan laporan akhir kemalangan pesawat perlu disiapkan dalam tempoh 12 bulan selepas kemalangan.

Iran mengakui tenteranya tersilap tembak pesawat Boeing 737-800 milik UIA, mengorbankan semua 176 penumpang dan kru, sekali gus mengundang kritikan dari serata dunia.

Presiden Iran, Hassan Rouhani membuat pengakuan itu dan berkata siasatan pihak tentera mendapati tragedi itu berlaku kerana 'kesilapan manusia'.

Mangsa nahas itu membabitkan 63 rakyat Kanada, 82 rakyat Iran, 11 rakyat Ukraine, 10 rakyat Sweden, empat rakyat Afghanistan dan masing-masing tiga rakyat Jerman serta Britain.

Sementara itu, Sciacchitano dan Menteri Pengangkutan Kanada, Marc Garneau berkongsi 'kesedihan dan harapan' daripada keluarga yang terkorban dalam pesawat PS752.

Kanada sebelum ini menuntut penjelasan dari Iran selepas laporan siasatan dikeluarkan negara itu gagal menjelaskan mengapa tembakan dilepaskan terhadap pesawat awam berkenaan. - AFP

Berita Harian X