Selasa, 20 Oktober 2020 | 10:43am
Gambar fail pada 29 September 2020 memaparkan Trump (kiri) dan Biden pada debat pertama pemilihan presiden AS di Cleveland, Ohio. - Foto AFP
Gambar fail pada 29 September 2020 memaparkan Trump (kiri) dan Biden pada debat pertama pemilihan presiden AS di Cleveland, Ohio. - Foto AFP

Dasar luar topik utama pusingan akhir debat

WASHINGTON: Kempen pemilihan semula Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menuntut Suruhanjaya Debat Presiden mengetengahkan dasar luar sebagai fokus utama pada pusingan akhir debat presiden yang dijadual pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.

"Kami jangkakan dasar luar akan menjadi fokus utama debat pada 22 Oktober nanti," kata pengurus kempen Trump, Bill Stepien, dalam sepucuk surat yang diutus kepada suruhanjaya itu semalam, memetik media tempatan.

"Kami menggesa anda untuk mengetengahkan topik dan subjek yang sudah disahkan sebelum ini," tulis Stepien.

Stepien menuduh calon presiden Demokrat Joe Biden 'terdesak dan mengelak perbincangan mengenai dasar luarnya sendiri' dan berkata suruhanjaya itu berusaha mengubahnya untuk 'melindungi Biden daripada sejarahnya sendiri.'

Pada Jumaat lalu, suruhanjaya itu mengumumkan enam topik yang dipilih iaitu memerangi COVID-19, kekeluargaan, kaum, perubahan iklim, keselamatan negara dan kepemimpinan.

Debat dijadual bermula 9 malam waktu tempatan pada Khamis di Nashville, Tennessee. Wartawan NBC Kristen Welker bertindak sebagai moderator. - BERNAMA

TAG: Donald Trump, kempen, dasar luar, debat, Joe Biden, COVID-19

Berita Harian X