Ahad, 18 Oktober 2020 | 11:07am
Arak tercemar ragut 20 nyawa di Costa Rica. Foto AFP
Arak tercemar ragut 20 nyawa di Costa Rica. Foto AFP

20 maut minum arak tercemar di Costa Rica

SAN JOSE: Seramai 20 orang maut dalam tempoh beberapa hari ini di Costa Rica yang disyaki minum arak tercemar mengandungi metanol berlebihan, kata Kementerian Kesihatan.

Kementerian Kesihatan berkata, sebanyak 52 kes keracunan dilaporkan di beberapa tempat seluruh negara, disyaki selepas minum arak dihasilkan daripada tebu yang dipanggil 'guaro' oleh penduduk tempatan.

"Kementerian Kesihatan dan polis menyiasat 49 penjual dan mengutip sampel minuman keras itu untuk diuji di makmal," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan pada Khamis lalu mengeluarkan amaran yang guaro berjenama Fiesta Blanca dipercayai dijual dengan dicampur metanol.

Pihak berkuasa kesihatan memberi amaran pada awal Oktober mengenai perkembangan itu selepas kematian pertama akibat arak tercemar dilaporkan berlaku di La Carpio di barat San Jose.

Pada Khamis dan Jumaat lalu, polis merampas lebih 14,000 botol arak daripada pengedar Fiesta Blanca

Kematian akibat minum alkohol yang dicampur dengan metanol sering berlaku di kebanyakan negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan kepekatan metanol yang tinggi boleh terjadi akibat penyulingan yang tidak betul atau ditambahkan dengan sengaja untuk 'menguatkan' minuman keras. - AFP

Berita Harian X