Jumaat, 16 Oktober 2020 | 6:51pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Curi mayat bapa yang disahkan positif COVID-19

BUENOS AIRES: Kira-kira 20 ahli keluarga memecah masuk dan mencuri mayat seorang lelaki yang dilaporkan maut akibat COVID-19 di bandar Tartagal, Argentina baru-baru ini.

Menurut portal berita Daily Star, aksi kumpulan itu melarikan mayat Ramon Juarez dirakam pada Ahad lalu.

Rakaman video itu menunjukkan kumpulan terbabit mengusung mayat keluar dari hospital dan meletakkannya di belakang sebuah trak sebelum dibawa lari.

Anak perempuan mangsa mengakui melakukan perbuatan itu atas alasan mahu mengucapkan selamat tinggal kepada mendiang bapanya.

"Saya ambil keputusan untuk mengeluarkan mayat bapa dari rumah mayat di hospital itu kerana sebagai anak, saya tidak mahu jasadnya dibakar," katanya.

Sebelum ini, Juarez dimasukkan ke Hospital Juan Domingo Peron akibat masalah jantung sebelum dibenarkan pulang.

Mendiang dirujuk semula ke hospital sama keesokan hari selepas keadaannya bertambah teruk sebelum disahkan maut akibat jangkitan COVID-19 pada malam Sabtu lalu.

Terdahulu, anak perempuan mendiang merayu supaya dibenarkan membawa pulang mayat bapanya untuk dikebumikan, namun ditolak pihak hospital.

Pengurus Hospital Juan Lopez berkata laporan polis sudah dibuat terhadap ahli keluarga mangsa kerana melanggar protokol pengendalian mayat pesakit COVID-19.

"Pesakit mengalami kegagalan paru-paru, yang mungkin disebabkan masalah jantung atau mungkin juga kerana COVID-19," katanya. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X