Jumaat, 16 Oktober 2020 | 12:39pm
Anggota Parlimen Brazil, Chico Rodrigues. - Foto AFP
Anggota Parlimen Brazil, Chico Rodrigues. - Foto AFP

Letak jawatan selepas duit dijumpai di pakaian dalam

BOGOTA: Anggota Parlimen Brazil, Chico Rodrigues, terpaksa meletakkan jawatan sebagai anggota Senat semalam selepas polis menjumpai wang tunai tersembunyi di pakaian dalamnya semasa rumahnya digeledah, lapor Agensi Anadolu.

Serbuan itu sebagai sebahagian siasatan oleh pihak berkuasa berhubung tuduhan penyalahgunaan 20 juta reais (RM14.5 juta) dana awam untuk memerangi COVID-19, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Komunikasi.

Kira-kira 30,000 reais (RM20,778) dijumpai di rumah anggota kongres itu, memetik majalah Crusoe dan akhbar Folha. Sebahagian wang dijumpai di pakaian dalamnya.

Rodrigues berkata, akan membuktikan dirinya tidak terbabit dengan rasuah.

"Rumah saya diceroboh kerana telah menjalankan tugas saya sebagai anggota Parlimen, mendapatkan sumber bagi negeri untuk memerangi COVID-19," katanya.

"Saya percaya pada keadilan dan saya akan membuktikan saya tidak ada kaitan dengan perbuatan haram itu."

Rodrigues adalah wakil rakyat negeri Roraima dan dipilih sebagai timbalan ketua pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro.

Bolsonaro berkata, serbuan itu membuktikan kerajaan pimpinannya memerangi rasuah tanpa mengira pangkat, kedudukan atau siapa yang melakukan. - BERNAMA

Berita Harian X