Jumaat, 16 Oktober 2020 | 12:04pm
Calvin Hoover, yang mati pada 2015, dikenal pasti sebagai pembunuh menerusi DNA. - Foto Twitter/Bryan Passifiume
Calvin Hoover, yang mati pada 2015, dikenal pasti sebagai pembunuh menerusi DNA. - Foto Twitter/Bryan Passifiume

DNA bongkar suspek sebenar kes pembunuhan ngeri 1984

MONTREAL: Bukti terbaharu mendedahkan pendakwaan terhadap seorang lelaki kerana didapati bersalah membunuh kanak-kanak berusia sembilan tahun pada 1984, adalah penghakiman tidak tepat.

Penemuan tergempar itu menyusul selepas pasukan penyelidik meneliti kandungan asid deoksiribonukleik (DNA) pada tertuduh sebenar kes pembunuhan itu yang kini sudah meninggal dunia.

Menggunakan teknik genealogi genetik, perbandingan sampel DNA dengan saudara terdekat berjaya membongkar suspek sebenar kes pembunuhan Christine Jessop.

Lelaki berkenaan dikenali sebagai Calvin Hoover, iaitu jiran kenalan ahli keluarga mangsa yang dilaporkan media, bertindak membunuh diri pada 2015 lalu.

Pemangku Ketua Polis Toronto, James Ramer, berkata suspek sebenar kes pembunuhan yang menggemparkan seluruh Kanada itu akan ditangkap sekiranya dia masih hidup sehingga kini.

"Malangnya, dia (suspek sebenar) sudah meninggal dunia," katanya.

Jessop dilaporkan diculik selepas keluar dari rumahnya di utara Toronto, berdekatan Queensville, pada 3 Oktober 1984.

Hasil bedah siasat terhadap mayat mendapati, kanak-kanak perempuan itu didera secara seksual dan ditikam sehingga mati, sebelum ditemui beberapa bulan kemudian di kawasan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari lokasi penculikan.

Susulan itu, jiran keluarga Jessop, Guy Paul Morin, diberkas pada 1985 berikutan pembunuhan kanak-kanak perempuan terbabit dan disabit bersalah selepas dua kali perbicaraan dijalankan.

Bagaimanapun, penelitian terhadap jujukan DNA bersandarkan teknologi terkini mendapati Paul tidak bersalah, pada 1995.

Pihak berkuasa kemudian membayar pampasan susulan kesalahan penghakiman dan penyiasatan itu, membabitkan nilai 1.25 juta dolar Kanada (RM3.92 juta).

Bercakap kepada media, Morin menzahirkan kegembiraan kerana keluarga kanak-kanak perempuan itu kini mendapat pembelaan sewajarnya dan mengetahui cerita sebenar.

"Saya menaruh keyakinan sekian lama... Sistem keadilan mengecewakan saya, tetapi sains selamatkan saya," katanya. - AFP

Berita Harian X