Ahad, 11 Oktober 2020 | 11:40am
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika berucap di hadapan ratusan penyokongnya di Rumah Putih, Washington. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika berucap di hadapan ratusan penyokongnya di Rumah Putih, Washington. - Foto AFP

Doktor anggap Trump 'tiada risiko sebar' COVID-19

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dianggap 'tiada risiko sebar jangkitan' COVID-19, selepas sembilan hari tidak menunjukkan sebarang tindak balas terhadap virus itu, kata pakar perubatan Rumah Putih, Sean Conley.

Conley yang sebelum ini didakwa kurang telus kepada umum dalam kenyataannya semalam, berkata sudah 10 hari Trump tidak menunjukkan gejala COVID-19, selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Tentera Walter Reed di Maryland, pada 2 Oktober lalu.

Beliau berkata, hasil saringan mendapati 'tiada lagi bukti replikasi virus aktif' dan semakin 'berkurang', selain tidak menjelaskan sama ada Trump kini bebas sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19.

"Sukacita memaklumkan, Presiden memenuhi kriteria Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) untuk menghentikan kuarantin, sampel PCR COVID-19 pagi ini, (semalam) memenuhi piawaian dan beliau tidak lagi dianggap sebagai risiko penularan kepada orang lain.

"Trump tidak demam dan gejalanya 'semakin baik' dan tahap kesihatan beliau akan sentiasa dipantau berikutan 'kembali padat dengan jadual hariannya'," katanya.

Trump kini kembali aktif dalam siri kempennya sejurus pulang ke Rumah Putih selepas tiga hari dirawat di hospital.

Khamis lalu, Trump mengatakan menerusi ciapan Twitternya bahawa beliau dan isterinya, Melania positif COVID-19 dan akan menjalani kuarantin.

"Malam ini, @FLOTUS (Melania Trump) dan saya disahkan positif COVID-19. Kami akan memulakan proses kuarantin dan pemulihan. Kami akan dapat mengharungi bersama," kata Trump.

Pasangan itu kemudian menjalani rawatan di Pusat Perubatan Tentera Walter Reed di Maryland. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X