Sabtu, 10 Oktober 2020 | 10:17am
Louisiana dibadai Taufan Delta yang membawa ribut dan hujan lebat, semalam. - FOTO AFP
Louisiana dibadai Taufan Delta yang membawa ribut dan hujan lebat, semalam. - FOTO AFP

Taufan Delta badai pesisir Louisiana

LAKE CHARLES (AMERIKA SYARIKAT): Taufan Delta membadai pesisir Louisiana, petang semalam, dengan angin kencang dan ribut yang mengancam nyawa.

Fenomena alam itu mengakibatkan pelbagai kerosakan, sekali gus merencatkan usaha penduduk untuk membina semula kehidupan selepas dilanda taufan lain, kurang dua bulan lalu.

Pakar meteorologi memaklumkan, Taufan Delta adalah bencana ribut ke-10 membadai Amerika Syarikat (AS), tahun ini, sekali gus menjadi satu rekod.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan, ia mula menghampiri Creole, Louisiana sebagai taufan Kategori Dua daripada skala lima, dengan membawa angin berkelajuan tinggi mencecah 155 kilometer (km) sejam.

"Angin yang mengakibatkan kerosakan serta ribut mengancam nyawa terus melanda sebahagian daripada selatan Louisiana," menurut pusat berpangkalan di Miami itu.

Malah, katanya, sebuah tapak pemantauan melaporkan kejadian ribut membadai setinggi 2.4 meter dari permukaan tanah.

Jalanan di Lake Charles, iaitu bandar di barat daya Louisiana yang teruk dibadai Taufan Laura pada 20 Ogos lalu dan kini berdepan Taufan Delta pula, lengang sejak semalam selepas hujan berterusan.

Bandar itu belum pulih daripada bencana Taufan Laura dalam Kategori Empat yang mengakibatkan bumbung kediaman tercabut dan pokok tumbang, bahkan jalanan masih dipenuhi serpihan kemusnahan itu hingga kini. - AFP

Berita Harian X