Isnin, 5 Oktober 2020 | 7:26am
Presiden AS, Donald Trump, melambai ke arah penyokongnya yang berkumpul di luar hospital, semalam. - FOTO AFP
Presiden AS, Donald Trump, melambai ke arah penyokongnya yang berkumpul di luar hospital, semalam. - FOTO AFP

COVID-19: Trump buat kemunculan sekejap di luar hospital

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melambai ke arah penyokong dari kenderaannya, semalam, ketika membuat kemunculan sekejap di luar hospital di mana beliau menjalani rawatan COVID-19.

Trump muncul sejurus mengumumkan 'suatu kejutan' yang kemudian dilihat sebagai tindakan untuk menunjukkan kesihatannya semakin pulih, selepas tercetus kekeliruan serta percanggahan makluman sebelum ini daripada Rumah Putih dan pasukan perubatan beliau.

Trump dilihat memakai pelitup muka berwarna gelap dan melambai ke arah orang ramai sebelum kenderaan membawanya masuk semula ke dalam kawasan Pusat Perubatan Tentera Walter Reed, dekat sini.

"Kami akan membuat sedikit kejutan kepada sebilangan patriot hebat yang berada di jalanan.

"Saya akan melakukan lawatan mengejut," kata Trump dalam satu rakaman video yang dimuat naik ke akaun Twitter sejurus sebelum muncul.

Trump yang berulang kali ditegur sebelum ini kerana melanggar garis panduan kesihatan awam dan menyebarkan maklumat salah berhubung pandemik itu, turut memaklumkan beliau telah 'banyak belajar mengenai COVID-19' dengan 'betul-betul masuk sekolah' ketika dirinya bergelut melawan jangkitan virus berkenaan di hospital.

"Ini adalah sekolah sebenar. Ini bukanlah sekolah 'jom, baca buku'. Saya menyedari serta memahaminya, dan ia amat menarik," katanya.

Bagaimanapun, tindakan Trump keluar sekejap dari hospital itu segera dikecam pihak perubatan yang bimbang kerana virus berkenaan amat mudah tersebar. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X