Selasa, 15 September 2020 | 3:37pm
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - FOTO AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - FOTO AFP

Trump berikrar akan bertindak balas '1,000 kali lebih besar'

WASHINGTON: Presiden Donald Trump semalam berikrar akan bertindak balas dengan 'magnitud 1,000 kali lebih besar' atas sebarang serangan terhadap Amerika Syarikat (AS) oleh Iran.

Ia berikutan laporan bahawa Iran didakwa merancang untuk membalas dendam atas pembunuhan jeneral tertinggi, Qasem Soleimani.

Menurut satu laporan media AS yang memetik pegawai tidak dinamakan, Iran didakwa merancang untuk membunuh Duta AS ke Afrika Selatan sebelum pilihan raya presiden pada November depan.

"Berdasarkan laporan media, Iran berkemungkinan sedang merancang satu pembunuhan atau serangan lain terhadap AS sebagai membalas pembunuhan Soleimani.

"Sebarang serangan oleh Iran, dalam apa jua bentuk, terhadap AS akan dibalas dengan serangan bermagnitud 1,000 kali lebih besar ke atas Iran!" kata Trump melalui Twitter.

Hubungan Washington dengan Tehran menjadi tegang sejak revolusi Iran dan bertambah buruk selepas Trump secara sebelah pihak menarik diri daripada perjanjian nuklear antarabangsa dengan Iran pada Mei 2018.

Januari lalu, serangan dron AS membunuh Soleimani di Baghdad, dan Washington sedang berusaha melanjutkan embargo senjata terhadap Iran yang berakhir secara progresif bermula Oktober depan, selain mengenakan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas republik itu. - AFP

Berita Harian X