Rabu, 12 Ogos 2020 | 10:23am
Senator Kamala Harris. Foto AFP
Senator Kamala Harris. Foto AFP

Biden pilih Kamala Harris sebagai gandingan

WASHINGTON: Joe Biden mengumumkan Senator Kamala Harris sebagai Naib Presiden, jika beliau dipilih sebagai Presiden pada Pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS), November depan.

Ia bagi mencabar penyandang jawatan itu, Presiden Donald Trump yang mewakili parti Republikan.

Sekiranya menang, Harris akan melakar sejarah sebagai naib presiden wanita pertama AS.

Ia juga sekali gus menjadi naib presiden pertama yang bukan berkulit putih di negara berkenaan.

Pengumuman berkenaan dibuat Biden, 77, menerusi sosial media.

"Saya berbangga dapat bersama beliau (Harris) sebagai rakan dalam kempen saya," katanya.

Harris, 55, dijangka dapat menarik pengundi muda dan wanita termasuk penduduk luar bandar yang tidak sukakan Trump.

Pemilihan wanita berketurunan India itu juga dapat dilihat sebagai usaha parti Demokrat untuk meraikan kepelbagaian dalam masyarakat.

Beliau adalah calon Naib Presiden ketiga untuk parti utama, selepas calon daripada Parti Demokrat, Geraldine Ferraro pada 1984 dan Sarah Palin (Parti Republikan), pada 2008, selain Hillary Clinton, wanita yang menjadi calon Presiden AS tetapi kalah kepada Trump pada 2016. - AFP

Berita Harian X