Khamis, 6 Ogos 2020 | 8:30am
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo. Foto AFP
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo. Foto AFP

AS mahu lanjutkan embargo senjata ke atas Iran

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengemukakan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada minggu depan untuk melanjutkan embargo senjata ke atas Iran walaupun ditentang oleh Russia dan China.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo semalam. Larangan penjualan senjata konvensional kepada Iran berakhir pada 18 Oktober ini dan AS mengancam untuk mengembalikan sekatan PBB itu, sekiranya ia tidak dilanjutkan.

Pompeo berkata, AS akan mengemukakan resolusi yang amat dinanti-nantikan itu pada minggu depan.

Katanya, wujud kebimbangan kerana terdapat petunjuk bahawa China sudah bersedia untuk menjual senjata kepada Iran.

"Terdapat negara yang sudah bersedia untuk menjual senjata (kepada Iran) dan ini akan menyebabkan ketidakstabilan di Asia Barat dan meletakkan Israel, Eropah dan AS dalam risiko.

"Kami tidak akan membiarkan perkara itu terjadi. AS akan menggunakan kaedah diplomatik bagi menanganinya," katanya kepada pemberita.

Pada Julai lalu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, berkata pihaknya sedang dalam rundingan bagi melaksanakan perjanjian 25 tahun dengan China iaitu antara negara yang bersedia untuk menentang sekatan AS terhadap Tehran.

Untuk rekod, ketegangan antara Washington dan Tehran memuncak sejak Trump bertindak sendirian menarik diri daripada Perjanjian Nuklear Iran pada 2018, yang dimulakan Barack Obama dan mengulangi sekatan yang dilonggarkan di bawah perjanjian itu. - AFP

Berita Harian X