Selasa, 21 Julai 2020 | 12:18pm
Kargo yang membawa vaksin dihasilkan firma swasta farmaseutikal China, Sinovac Biotech, di Lapangan Terbang Cumbica di Guarulhos, Sao Paulo, Brazil. - Foto AFP
Kargo yang membawa vaksin dihasilkan firma swasta farmaseutikal China, Sinovac Biotech, di Lapangan Terbang Cumbica di Guarulhos, Sao Paulo, Brazil. - Foto AFP

Brazil sedia uji vaksin COVID-19 dari China

SAO PAULO: Brazil bersedia memulakan ujian klinikal lanjutan terhadap vaksin COVID-19 buatan China pada Selasa, dengan langkah mengedarkan dos pertama kepada sekitar 900 sukarelawan.

Vaksin COVID-19 yang dibangunkan firma swasta farmaseutikal China, Sinovac, adalah yang ketiga di dunia memasuki percubaan fasa tiga atau ujian skala besar ke atas manusia iaitu langkah terakhir sebelum diberikan kelulusan untuk digunakan.

Ia akan diberikan kepada doktor dan pekerja kesihatan lain yang menjadi sukarelawan di enam negeri di Brazil, negara yang paling teruk dilanda pandemik itu selepas Amerika Syarikat.

"Percubaan ujian klinikal CoronaVac, iaitu vaksin paling termaju dalam pengujian di dunia, akan dimulai di Hospital Klinikal Sao Paulo," kata Gabenor Negara, Joao Doria pada sidang media.

Katanya, hasil awal ujian klinikal vaksin itu dijangka diperoleh dalam tempoh 90 hari.

Sinovac bekerjasama dengan pusat penyelidikan kesihatan awam Brazil, Institut Butantan, bagi percubaan vaksin itu.

Sekiranya vaksin terbukti selamat dan berkesan, institusi berkenaan berhak menghasilkan 120 juta dos berdasarkan perjanjian itu, menurut pegawainya.

"Di Brazil, kita dapat menggunakan vaksin pertama yang digunakan secara meluas, yang sangat, sangat menjanjikan," kata ketua Institut Butantan, Dimas Covas.

Angka kematian di Brazil melebihi 80,000 orang setakat semalam, dan mencatatkan kira-kira 2.1 juta kes jangkitan positif, menjadikan vaksin itu sesuai diuji memandangkan kadar kebolehjangkitan masih aktif.

Brazil juga membantu menjalankan ujian tahap tiga terhadap vaksin eksperimen lain, yang dibangunkan Universiti Oxford di Britain dan firma farmaseutikal, AstraZeneca.

Vaksin lain yang dibangunkan syarikat awam China, Sinopharm, juga memasuki percubaan tahap tiga bulan ini di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ia antara tiga syarikat yang termaju daripada puluhan projek seluruh yang berlumba-lumba mengembangkan dan menguji vaksin terhadap virus baharu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X