Jumaat, 3 Julai 2020 | 11:56am
Menteri Luar Kanada, Francois-Philippe Champagne - Foto AFP
Menteri Luar Kanada, Francois-Philippe Champagne - Foto AFP

Pesawat ditembak jatuh: Kanada, Sweden buka jalan rundingan pampasan dengan Iran

OTTAWA: Kanada pada Khamis mengumumkan perjanjian untuk memulakan rundingan dengan Iran berhubung pampasan kepada keluarga mangsa pesawat penumpang Ukraine yang ditembak jatuh pada Januari lalu.

Bersama Sweden, kedua-dua negara itu menyatakan keyakinan bahawa Tehran akan membayar pampasan berkenaan.

Kumpulan penyelaras dan maklum balas antarabangsa bagi negara yang warganya terbunuh dalam insiden itu menandatangani memorandum persefahaman, yang secara rasminya membuka jalan untuk rundingan dengan Tehran, demikian menurut kenyataan kerajaan Kanada.

Mangsa yang terbunuh membabitkan warga Kanada, Britain, Ukraine, Sweden dan Afghanistan, selepas pasukan tentera Tehran melakukan kesilapan dengan menembak Ukraine International Airlines Flight 752.

"Lima negara itu mengadakan struktur perundangan yang perlu bagi memulakan rundingan ini.

"Ini adalah langkah pertama, yang perlu tapi hanya langkah pertama bagi memulakan rundingan untuk mendapatkan pampasan bagi keluarga mangsa, " kata Menteri Luar Kanada, Francois-Philippe Champagne kepada AFP.

Sebelum itu, Menteri Luar Sweden, Ann Linde memberitahu agensi berita TT bahawa Tehran bersetuju untuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa warga asing.

Katanya, tidak syak lagi yang Iran akan bersetuju dengan bayaran pampasan itu dan menambah, jumlah yang akan dibayar masih belum jelas.

"Kami sudah menandatangani perjanjian persefahaman bahawa kami kini akan berunding dengan Iran mengenai pindaan, pampasan kepada keluarga mangsa," kata Linde.

Selain itu, Champagne berkata, Ukraine, selaku jurucakap yang dilantik bagi rundingan itu akan bertanggungjawab bagi mencadangkan tarikh untuk mengadakan rundingan di Tehran.

"Rundingan seperti ini secara umumnya mengambil masa berbulan-bulan, malah bertahun-tahun.

"Iran sudah menunjukkan kepada kita hasratnya untuk memulakan rundingan. Saya sering menghakimi Iran bukan melalui apa yang dinyatakan tetapi tindakan yang diambil," kata Champagne, yang mana negaranya mempengerusikan kumpulan penyelaras berkenaan.

Seramai 176 mangsa dalam insiden pesawat ditembak jatuh sebaik berlepas dari lapangan terbang Tehran pada 8 Januari lalu itu, kebanyakannya adalah warga Iran dan Kanada. - AFP

Berita Harian X