Khamis, 25 Jun 2020 | 6:38pm
Pentagon
Pentagon

Pentagon dedah senarai syarikat disokong tentera China

WASHINGTON: Pentagon menerbitkan senarai 20 syarikat China yang dikatakan ada kaitan dengan tentera republik itu, yang dilihat sebagai perbuatan 'balas dendam' terbaru dalam persaingan ekonomi antara kedua-dua negara.

Gergasi telekomunikasi, Huawei, yang didakwa mencuri rahsia perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan membantu usaha pengintipan China serta syarikat peninjau video, Hikvision, adalah antara syarikat yang tersenarai, mengikut laporan Bloomberg.

Jurucakap Pentagon, Jonathan Rath Hoffman, berkata tindakan itu diambil kerana China cuba mengaburkan pemisahan antara sektor awam dan tentera.

"Kita menyenaraikan syarikat yang 'dimiliki, dikawal atau berkaitan' dengan tentera selain industri pertahanan China kerana adalah kritikal bagi mengetahui siapa pembekal kita.

"Kami berharap senarai ini berguna kepada kerajaan AS, syarikat, pelabur, institusi akademik dan agensi seumpamanya apabila melakukan proses ketekunan wajar (due diligence) sebelum menjalin sebarang usaha sama," katanya.

Ketegangan antara AS dan China semakin memuncak dalam pelbagai aspek terutama perdagangan dua hala.

Presiden AS, Donald Trump, yang mengisytiharkan perang perdagangan dengan China, minggu lalu memberi amaran akan 'memutuskan sama sekali' hubungan ekonomi, meskipun kedua-dua pihak memberi komitmen meneruskan rundingan perdagangan.

China pula bulan lalu memberi amaran akan 'mengambil langkah sewajarnya' untuk melindungi Huawei dan syarikat lain selepas AS mengumumkan sekatan baharu terhadap gergasi teknologi itu bagi membeli teknologi semikonduktor. - AFP

Berita Harian X