Sabtu, 20 Jun 2020 | 1:39pm
 Orang ramai merakam gambar patung Jeneral Konfederasi, Albert Pike yang dirosakkan penunjuk perasaan di Washington. - Foto AFP
Orang ramai merakam gambar patung Jeneral Konfederasi, Albert Pike yang dirosakkan penunjuk perasaan di Washington. - Foto AFP

Patung Jeneral Konfederasi dirosakkan penunjuk perasaan

WASHINGTON: Penunjuk perasaan memusnahkan satu-satunya patung Jeneral Konfederasi sebelum membakarnya, tindakan yang dilabel Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai amat memalukan, menurut media AS.

Gambar kejadian itu, yang disiarkan ABC7 News, memaparkan penunjuk perasaan menjatuhkan patung Albert Pike sambil melaungkan 'kehidupan orang kulit hitam penting' dan membakarnya.

Trump turut membuat ciapan berhubung kejadian itu dengan memetik Datuk Bandar bandar raya itu, Muriel Bowser bahawa polis tidak menjalankan tugas mereka dan sekadar menyaksikan perbuatan penunjuk perajaan.

"Polis perlu segera menangkap mereka. Perbuatan yang memalukan kepada negara," katanya.

Trump dan Bowser sebelum ini berbeza pendapat berhubung penggunaan kekerasan di ibu negara terbabit yang menyaksikan Trump mengerahkan pasukan keselamatan 'National Guard' bagi meredakan ketegangan yang memuncak.

Perarakan dan demonstrasi berlangsung di seluruh AS menuntut keadilan perkauman susulan kematian seorang lelaki berkulit hitam oleh anggota polis.

Penunjuk perasaan sebelum itu berkumpul di Washington berhampiran Lincoln Memorial dan Rumah Putih.

Beberapa monumen pemimpin konfederasi diruntuhkan oleh penunjuk perasaan sebagai membantah perkauman sistemik, keganasan polis dan ketidakadilan. - AFP

Berita Harian X