Jumaat, 12 Jun 2020 | 1:02pm
 Jururawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Northwestern Memorial di Chicago menyertai pembedahan pemindahan paru-paru seorang pesakit COVID-19. - AFP
Jururawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Northwestern Memorial di Chicago menyertai pembedahan pemindahan paru-paru seorang pesakit COVID-19. - AFP

Pemindahan paru-paru beri harapan kepada pesakit COVID-19

WASHINGTON: Seorang pesakit wanita berusia 20-an menjadi individu yang dijangkiti COVID-19 pertama di Amerika Syarikat (AS) menerima pemindahan paru-paru, sekali gus memberi harapan kepada pesakit itu.

Wanita itu menghabiskan masa selama enam minggu di unit rawatan rapi di Hospital Northwestern Memorial di Chicago, di mana dia menggunakan mesin jangka hayat untuk kelangsungan hidupnya.

Bagaimanapun awal bulan ini, keadaan wanita itu semakin teruk dan pemindahan paru-paru satu-satunya kaedah untuk menyelamatkan nyawanya.

"Paru-parunya menunjukkan tanda tidak sembuh, malah mula timbul parut kekal dan lubang besar di paru kirinya yang berupaya menyebabkan jangkitan bakteria.

"Pembedahannya sangat sukar dan mengambil masa selama 10 jam berbanding kebiasaannya enam jam saja. Ini memandangkan parunya tersekat pada struktur sekitarnya dan sukar dikeluarkan.

"Kejayaan proses ini memberi harapan untuk membedah lebih ramai pesakit yang bergantung kepada ventilator disebabkan paru-paru mereka sudah rosak.

"Pesakit kini sudah sedar dan membuat panggilan video dengan keluarganya," kata pakar bedah toraks, Ankit Bharat, 40, yang sudah melakukan banyak pembedahan sebelum ini.

Namun pesakit masih bergantung kepada ventilator untuk bernafas sebelum dibenarkan keluar dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Keadaan pesakit adalah sangat luar biasa bagi seorang wanita muda yang mengalami kerosakan paru-paru yang begitu serius akibat COVID-19 dan doktor berharap dapat mempelajarinya dengan teliti untuk mengetahui lebih lanjut mengapa ini berlaku.

Bharat berkata, selain membuktikan bahawa pesakit COVID-19 yang kritikal dapat diselamatkan, pemindahan paru-paru juga dapat membantu pesakit untuk pulang ke rumah kerana tiada siapa yang ingin sengsara kehilangan fungsi bernafas.

"Kurang 15 peratus daripada semua paru-paru yang ditawarkan dianggap sesuai untuk digunakan, tetapi teknik baharu termasuk "ex vivo lung perfusion" semakin banyak digunakan untuk memperbaiki organ berkenaan.

"Keperluan mendorong inovasi dan saya rasa jika lebih ramai pesakit memerlukan pemindahan, kita akan mengetahui caranya," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X