Jumaat, 5 Jun 2020 | 10:48am
Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen berlaku pada 4 Jun 1989. Foto AFP
Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen berlaku pada 4 Jun 1989. Foto AFP

Tragedi berdarah Tiananmen sukar dilupakan - Rumah Putih

WASHINGTON: Rumah Putih semalam mengatakan korban berdarah penunjuk perasaan pada 1989 tidak dapat dilupakan, selain mendesak Beijing untuk mendedahkan bilangan sebenar pertumpahan darah tragedi itu untuk pertama kalinya.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha akhbar Presiden Donald Trump, Kayleigh McEnany, berkata pembunuhan Parti Komunis China terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah tragedi yang tidak akan dilupakan.

"Amerika Syarikat (AS) mahu China memperingati tragedi dan menghormati mereka yang kehilangan nyawa dan memberikan perincian penuh berapa ramai terkorban, ditahan dan masih berstatus hilang dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen pada 4 Jun 1989," katanya.

Kepemimpinan China tidak pernah memberikan angka kematian akibat tindakan keras yang dipercayai membabitkan ratusan atau ribuan orang terbunuh dan kerajaan itu berusaha menyekat penyataan insiden itu secara terbuka.

Perbincangan terbuka mengenai penindasan kejam dilarang di tanah besar China.

Di Hong Kong, di mana Beijing memperketatkan undang-undang pusat, di mana perhimpunan ramai untuk memperingati ulang tahun itu dilarang.

Setiap tahun, AS mengeluarkan kenyataan serupa mendesak China memberikan angka korban tepat.

Kelmarin, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, mengadakan pertemuan dengan mangsa terselamat termasuk Wang Dan, pemimpin pelajar yang cukup terkenal dengan protes pro-demokrasi.

Terdahulu, Pompeo mengecam China kerana menghalang peringatan tahunan Hong Kong dengan alasan perhimpunan besar-besaran bertentangan dengan garis panduan memerangi COVID-19, sambil beliau berkongsi gambar pertemuan itu di twitter.

Bagaimanapun tahun ini, tuntutan Washington ditenggelami berikutan Trump dikritik dan diminta bertanggungjawab terhadap rusuhan dan kebakaran yang tercetus di seluruh AS berhubung kekejaman polis terhadap lelaki Afrika-Amerika.

Pemimpin pro-Beijing Hong Kong menuduh AS bersikap berat sebelah kerana mengkritik tindakan keras bandar itu terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi.

Hubungan antara China dan AS yang meruncing sejak wabak COVID-19 yang bermula di Wuhan dengan Trump menyalahkan Beijing kerana membiarkan virus itu merebak dengan cepat ke seluruh dunia dan memutuskan hubungan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan menuduhnya berat sebelah terhadap pemerintah China. - AFP

Berita Harian X