X
Sabtu, 30 Mei 2020 | 2:05pm
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - FOTO AFP
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - FOTO AFP

COVID-19: Pasukan pengaman PBB catat kematian pertama

NEW YORK: Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencatatkan kematian pertama wabak COVID-19 membabitkan dua anggota bertugas di Mali, kata pegawai, semalam.

Kedua-dua mangsa itu ialah sebahagian daripada kira-kira 100,000 anggota tentera yang ditugaskan bawah PBB dalam 15 misi berbeza di seluruh dunia.

"Malangnya, saya ingin memaklumkan bahawa semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam), dua anggota tentera kita telah meninggal dunia akibat COVID-19," kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, pada mesyuarat di ibu pejabat agensi itu, di sini.

Beliau berkata, salah seorang anggota tentera terbabit adalah dari Kemboja, manakala seorang lagi dari El Salvador.

"Kedua-dua mereka adalah anggota pasukan pengaman PBB di Mali (MINUSMA)," katanya.

Menurut PBB, setakat semalam, sebanyak 137 kes COVID-19 direkodkan sepanjang tempoh misi pengaman meliputi anggota tentera, pegawai polis, orang awam dan personel bersekutu, dengan 53 daripadanya telah sembuh serta dua kematian.

MINUSMA adalah misi paling terkesan dengan mencatatkan 90 jangkitan, termasuk 43 kes telah sembuh dan dua korban.

Misi yang kedua teruk terjejas akibat COVID-19 ialah di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) dengan 21 jangkitan dan tiga kes sembuh, manakala di Republik Afrika Tengah pula, 17 kes jangkitan direkodkan serta dua pesakit telah pulih.

Menurut PBB lagi, kes lain turut dilaporkan dalam kalangan anggota pasukan pengaman di Sudan Selatan, Libya, Israel dan Darfur.

Tahun lalu, seramai 83 anggota tentera, polis dan orang awam di 39 negara, terbunuh ketika misi pengaman. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X