Jumaat, 29 Mei 2020 | 10:02am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Trump 'balas dendam' terhadap media sosial

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani perintah melucutkan kekebalan undang-undang bagi kandungan media sosial seperti Twitter.

Bagaimanapun, perintah yang ditandatangani selepas Twitter buat pertama kali bertindak terhadap 'ciapan palsu' Trump itu diselar sebagai balas dendam politik oleh pengkritiknya.

Perintah itu antara lain meminta pengawal selia kerajaan untuk menilai semula sekiranya pentas dalam talian dibenarkan mendapatkan perlindungan liabiliti bagi kandungan yang dimuat naik oleh jutaan penggunanya.

Sekiranya dikuatkuasa, tindakan itu bakal mengubah kebiasaan dan pentas internet sebagai penerbit berdepan liabiliti untuk kandungan yang dimuat naik pengguna.

Trump berkata beliau bertindak sedemikian kerana firma teknologi komunikasi maklumat (ICT) besar 'mempunyai kuasa penuh untuk menapis, menyekat, mengedit, menyembunyi dan mengubah segala bentuk komunikasi'.

"Kita tidak biarkan ini terus berlaku, Twitter tidak lagi menjadi pentas yang seimbang, malah menjadi pengarang dengan pandangan tersendiri.

"Perkara yang sama juga berlaku di Google, termasuk Facebook dan lain," katanya.

Bagaimanapun, syarikat internet menafikan dakwaan Trump itu dengan menyifatkannya sebagai berat sebelah. - AFP

Berita Harian X