Jumaat, 8 Mei 2020 | 8:55am
UBAT hydroxychloroquine. - Foto AFP
UBAT hydroxychloroquine. - Foto AFP

COVID-19: Ubat antimalaria tidak bahaya atau bermanfaat

WASHINGTON: Satu kajian yang dibuat oleh beberapa hospital di New York mendapati tidak ada bukti penggunaan ubat antimalaria, hydroxychloroquine akan mengundang bahaya, ataupun memberikan manfaat kepada pesakit COVID-19 yang berada dalam keadaan kritikal.

Kajian itu dibuat membabitkan pesakit di bahagian kecemasan di New York-Presbyterian Hospital dan Columbia University Irving Medical Center melalui dana khas oleh Institut Kesihatan Kebangsaan.

Dalam kajian itu, kumpulan pertama pesakit, iaitu kira-kira 811 orang diberikan dua dos berjumlah 600 miligram hydroxychloroquine pada hari pertama, manakala 400 miligram lagi untuk empat hari seterusnya.

Sementara, kumpulan kedua iaitu sejumlah 565 daripada pesakit lagi tidak menerima apa-apa ubatan.

Perbandingan yang dibuat berdasarkan dua kumpulan itu mendapati tidak ada hubungan yang ketara sama ada menyebabkan intubasi atau kematian bagi pesakit yang dirawat dengan hydroxychloroquine atau sebaliknya.

"Risiko intubasi dan kematian didapati tidak menunjukkan ketara lebih tinggi atau rendah terhadap pesakit yang dirawat menggunakan hydroxychloroquine berbanding mereka yang tidak menggunakan ubat berkenaan," menurut penulis kajian berkenaan.

Kajian yang diterbitkan semalam di The New England Journal of Medicine turut memaklumkan, hasil dapatan itu tidak boleh digunakan untuk melihat sama ada penggunaan ubat antimalaria itu memberikan manfaat atau membahayakan penggunanya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kerap menyebut mengenai ubat anti viral-malaria berkenaan yang dikatakan sesuai bagi rawatan pesakit COVID-19.

Hydroxychloroquine dan sebatian chloroquine digunakan sejak beberapa dekad lalu untuk merawat malaria, selain digunakan untuk mereka yang menghidapi Systemic Lupus Erythematosus (SLE) dan sakit sendi, iaitu rheumatoid arthritis.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa kesihatan Kanada, Agensi Ubat-ubatan Eropah dan Pengurusan Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat turut memberi amaran supaya hydroxychloroquine tidak digunakan untuk merawat COVID-19 di luar ujian klinikal.

Minggu lalu, Amerika Syarikat meluluskan penggunaan ubat remdesivir bagi tujuan kecemasan, selepas ujian klinikal utama sesetengah pesakit yang menggunakannya sembuh daripada COVID-19 dalam jangka masa yang lebih pantas. –AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X