X
Selasa, 5 Mei 2020 | 3:44pm
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro. - Foto AFP
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro. - Foto AFP

Venezuela tahan dua rakyat AS gagal 'rampas kuasa'

CARACAS: Dua warga Amerika Syarikat (AS) ditahan di Venezuela semalam selepas gagal melakukan cubaan 'merampas kuasa' kerajaan pimpinan Presidennya, Nicolas Maduro.

Maduro turut menuduh pemimpin pembangkang, Juan Guaido, yang disokong AS, sebagai dalang yang membiayai cubaan itu.

Katanya, dua yang ditahan adalah anggota pasukan keselamatan AS, masing-masing berusia 34 dan 41 tahun.

"Komando tinggi angkatan bersenjata mengenal pasti mereka sebagai Luke Denman, 34, and Airan Berry, 41," katanya sambil menunjukkan pasport dan dokumen lain kepada stesen televisyen, VTV.

Awal pagi semalam, Peguam Negara Venezuela mendakwa Guaido bekerjasama dengan bekas askar pasukan khas AS untuk mengarahkan tentera upahan mengetuai rampasan kuasa yang didakwa sudah digagalkan oleh rejim Maduro.

Penahan itu dibuat sehari selepas cubaan rampasan kuasa dari laut itu dipatahkan, di mana lapan penyerang dibunuh dan dua lagi ditahan.

Peguam Negara, Tarek William Saab, memberitahu pemberita bahawa askar upahan menandatangani kontrak AS$212 juta dengan Guaido, yang menggunakan dana dicuri daripada syarikat petroleum negara, PDVSA.

AS, sebagai salah satu daripada lebih 50 negara menyokong Guaido sebagai pemangku Presiden Venezuela dalam usaha menumbangkan Maduro, mengenakan sekatan terhadap PDVSA.

Bagaimanapun, AS membenarkan Guaido menggunakan dana daripada akaun PDVSA yang dibekukan menerusi anak syarikatnya, Citgo, yang berpangkalan di Houston, AS.

Pihak Peguam Negara Venezuela sudah melancarkan beberapa siasatan terhadap t Guaido sebelum ini tetapi tidak pernah menahannya atas apa-apa tuduhan. AFP

Berita Harian X