Isnin, 23 March 2020 | 12:54pm
Harvey Weinstein. - Foto AFP
Harvey Weinstein. - Foto AFP

Harvey Weinstein positif COVID-19

NEW YORK: Bekas penerbit filem tersohor Hollywood, Harvey Weinstein, yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan serangan seksual dan rogol, disahkan positif COVID-19.

Presiden Pegawai Pemeriksaan dan Persatuan Kebajikan Polis New York, Michael Powers, berkata Weinstein yang berusia 68 tahun itu ditempatkan cara berasingan di Wende Correctional Facility.

Katanya, susulan status positif Weintein yang disahkan pagi semalam, pihaknya mengarahkan beberapa kakitangan menjalani kuarantin berikutan tiada peralatan perlindungan diri yang bersesuaian.

Weinstein, tiba di Wende Correctional Facility, penjara dengan kawalan ketat di Buffalo, timur New York pada Rabu lalu, sebelum ini dia diletakkan di Penjara Rikers Island, New York.

Dia dijatuhi hukuman penjara 23 tahun pada 11 Mac lalu, bersabit kesalahan serangan seksual ke atas bekas pembantu penerbit, Mimi Haleyi dan tuduhan merogol pelakon, Jessica Mann.

Malam tadi, peguam Weinstein berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai diagnosis coronavirus terhadap anak guamnya.

“Dengan keadaan Weinstein yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan lain, sudah tentu kami bimbang dan akan sentiasa memantau keadaannya," kata peguamnya, Imran Ansari, yang berpejabat di New York.

Terdahulu, akhbar tempatan Niagara Gazette melaporkan Weinstein positif penyakit berjangkit itu, namun tiada pengesahan rasmi.

Selain itu, dua banduan lain di Wende disahkan positif COVID-19, kata pegawai penjara itu sambil menegaskan beliau tidak boleh mengulas mengenai laporan perubatan seseorang individu.

Keputusan mahkamah kes Weinstein itu satu kemenangan besar kepada pergerakan #MeToo yang memperjuangkan nasib mangsa rogol dan serangan seksual di seluruh dunia terutama perlakuan lelaki dikenali ramai.

Lebih 100 wanita termasuk pelakon popular menjadi mangsa perlakuan seksual Weinstein sejak berdekad dulu, namun dia menafikan semua pertuduhan dengan mendakwa semua hubungan seks itu dilakukan atas kerelaan kedua-dua pihak.

Selain di New York, Weinstein turut menghadapi pertuduhan seksual lain di Los Angeles.

Dia pernah memenangi Anugerah Akademi untuk pembuatan filem Shakespeare in Love dan menjayakan Pulp Fiction, The English Patient dan Gangs of New York. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X