Selasa, 7 Januari 2020 | 1:21pm

AS tolak pengeluaran visa kepada Menteri Luar Iran

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menolak pengeluaran visa kepada Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, untuk menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan berlangsung di New York pada Khamis, menurut seorang pegawai AS.

Pegawai itu yang enggan namanya disiarkan, memaklumkan perkara berkenaan ketika ketegangan memuncak antara kedua-dua negara selepas AS membunuh komander tentera paling berpengaruh Iran, Qasem Soleimani, di Baghdad pada Jumaat lalu.

Bawah ‘perjanjian ibu pejabat’ PBB 1947, AS secara umum dikehendaki membenarkan akses ke PBB bagi diplomat asing.

Namun, Washington menegaskan, ia boleh menolak pengeluaran visa atas alasan ‘keselamatan, keganasan dan dasar luar negara’.

Jabatan Negara AS menolak memberi komen segera. Misi Iran ke PBB berkata: “Kami sudah melihat laporan media, namun kami belum menerima sebarang komunikasi rasmi sama ada daripada AS atau PBB berhubung visa Menteri Luar.”

FILE PHOTO: Iran's Foreign Minister Mohammad Javad Zarif looks on during a meeting with Russia's Foreign Minister Sergei Lavrov, in Moscow, Russia December 30, 2019. REUTERS/Evgenia Novozhenina/File Photo
FILE PHOTO: Iran's Foreign Minister Mohammad Javad Zarif looks on during a meeting with Russia's Foreign Minister Sergei Lavrov, in Moscow, Russia December 30, 2019. REUTERS/Evgenia Novozhenina/File Photo

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menolak untuk komen mengenai tindakan AS menolak pengeluaran visa kepada Menteri Luar Iran itu.

Mohammad Javad mahu menghadiri satu mesyuarat Majlis Keselamatan pada Khamis berhubung topik menegakkan Piagam PBB. Mesyuarat dan perjalanan beliau itu sudah dirancang sebelum ketegangan terbaru tercetus antara Washington dengan Teheran.

Mesyuarat Majlis Keselamatan itu akan membuka ruang tumpuan global terhadap Mohammad Javad untuk mengkritik AS secara terbuka atas pembunuhan Soleimani.

Kali terakhir Mohammad Javad ke New York pada September lalu untuk perhimpunan tahunan pemimpin dunia di PBB - selepas AS mengenakan sekatan terhadapnya kerana melaksanakan ‘agenda melulu Pemimpin Agung Iran.’ - REUTERS

Berita Harian X