Jumaat, 1 November 2019 | 8:17am
39 mati akibat penyakit berkaitan vape dilaporkan di Amerika Syarikat. Foto hiasan
39 mati akibat penyakit berkaitan vape dilaporkan di Amerika Syarikat. Foto hiasan

39 mati akibat penyakit berkaitan vape

ILLINOIS: Angka kematian akibat penyakit paru-paru misteri yang dikaitkan dengan menghisap vape di Amerika Syarikat dilaporkan meningkat kepada 39 kes.

Jumlah itu dicatatkan selepas Illinois dan Massachusetts masing-masing mengesahkan satu lagi kematian di negeri itu.

Jabatan Kesihatan Awam Illinois melaporkan kematian ketiga semalam, manakala pihak berkuasa kesihatan Massachusetts mendedahkan seorang lagi maut akibat vape, pada Rabu lalu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) turut mengesahkan 37 kematian dan 1,888 kes penyakit dipercayai membabitkan pernafasan.

Menurut data CDC, sehingga 29 Oktober lalu, sebanyak 24 sudah merekodkan kes kematian dan ia membabitkan mangsa berusia antara 17 tahun hingga 75 tahun.

Berikutan itu, CDC menggesa orang ramai supaya tidak menggunakan rokok elektronik (e-rokok) bersama bahan ganja tetrahydrocannabinol (THC), kerana ia mengandungi komponen aruhan yang tinggi, yang mungkin berperanan menyebabkan penyakit itu.

Namun, CDC berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kes berkenaan dan mungkin tidak sama di seluruh negara.

Berdasarkan data yang diperoleh, kira-kira 70 peratus daripada 1,378 pesakit adalah lelaki dan 79 peratus daripadanya berusia di bawah 35 tahun.

Data CDC juga menunjukkan kesemua pesakit mempunyai sejarah menghisap vape atau e-rokok, selain merekodkan gejala seperti batuk, sukar bernafas, sakit dada, mual atau cirit-birit.

Dalam pada itu, Kroger Co, Walgreens Boots Alliance Inc dan Walmart Inc mengumumkan keputusan menghentikan penjualan e-rokok di kesemua kedai mereka.

Firma e-dagang China, Alibaba Group Holding Ltd turut menghentikan penjualan komponen e-rokok di Amerika Syarikat. - Reuters

Berita Harian X