X
Selasa, 23 Julai 2019 | 7:33am
Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump (kanan) bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan semasa mesyuarat mereka di Pejabat Oval Rumah Putih di Washington, Amerika Syarikat. - Foto EPA
Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump (kanan) bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan semasa mesyuarat mereka di Pejabat Oval Rumah Putih di Washington, Amerika Syarikat. - Foto EPA

India nafi minta bantuan AS selesai isu Kashmir

NEW DELHI : India menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa beliau diminta Perdana Menteri, Narendra Modi untuk membantu menyelesaikan krisis Kashmir bersama Pakistan.

Trump membuat dakwaan itu semalam dari Pejabat Oval ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

Menurut beliau, Modi dalam pertemuan dua minggu lalu bertanya jika Presiden AS itu bersetuju untuk menjadi orang tengah atau pendamai dalam membantu menyelesaikan krisis berkenaan.

Jurucakap Kementerian Luar India, Raveesh Kumar ketika mengulas dakwaan terbabit berkata, tiada permintaan seumpama itu dibuat Perdana Menteri mereka kepada AS.

“Kami ada menyaksikan kenyataan dibuat Presiden Trump bahawa beliau bersedia menjadi orang tengah dalam isu Kashmir jika diminta oleh India dan Pakistan.

“Kami ingin tegaskan bahawa tiada permintaan seumpama itu dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau menambah, India berpegang teguh dan konsisten bahawa sebarang pendirian atau isu berbangkit bersama Pakistan harus dibincangkan secara bilateral.

“Sebarang hubungan bersama Pakistan perlu membabitkan pengakhiran kepada keganasan di bahagian sempadan,” katanya.

India dan Pakistan membahagikan wilayah majoriti Islam Kashmir kepada dua bahagian sejak kemerdekaan kedua negara pada 1947 namun saling menuntut pemilikan ke atas rantau itu.

Pemberontakan di Kashmir kepunyaan India sejak tiga dekad lalu meragut 70,000 nyawa, sebahagian besarnya adalah orang awam. - AFP

Berita Harian X