Ahad, 30 Jun 2019 | 11:11am
KAPAL yang membawa 69 kontena sampah yang didakwa tersilap label sebagai plastik kitar semula, kembali ke Kanada dari Filipina. - Foto REUTERS
KAPAL yang membawa 69 kontena sampah yang didakwa tersilap label sebagai plastik kitar semula, kembali ke Kanada dari Filipina. - Foto REUTERS

Kapal bawa kontena sampah kembali ke Kanada

TORONTO: Sebuah kapal membawa 69 kontena sampah yang didakwa tersilap label sebagai plastik kitar semula, kembali ke Kanada dari Filipina, semalam.

Ia sekali gus menamatkan satu lagi babak pertikaian yang tercetus sejak 2013 sehingga menjejaskan hubungan diplomatik di antara Ottawa dan Manila.

Bahan buangan itu dikeluarkan dari kapal kontena Anna Maersk yang berlabuh berhampiran Terminal Feri Tsawwassen dan tiba di GCT Deltaport di Delta British Colombia, kata GCT dalam satu kenyataan.

Jurucakap Metro Vancouver, Sarah Lusk berkata sampah itu akan dihantar ke kemudahan Waste-to-Energy di Burnaby di mana ia akan dibakar.

Kontena bahan buangan terbabit menjadi sebahagian daripada pertikaian diplomatik di antara Manila dan Ottawa apabila Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk ‘berperang’ dengan Kanada.

Duterte turut memanggil pulang diplomat kanannya dari Kanada selepas negara itu gagal menepati tarikh akhir untuk mengambil semula konsesi terbabit menjelang 15 Mei lalu.

Isu ini bukan satu-satunya faktor yang menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Tahun lalu, Duterte mengarahkan tentera membatalkan perjanjian AS$233 juta (RM976 juta) untuk membeli 16 helikopter dari Kanada, selepas Ottawa menyatakan kebimbangan ia mungkin digunakan untuk memerangi pemberontak. - Reuters

Berita Harian X