Jumaat, 28 Jun 2019 | 8:12am
Marshae Jones didakwa atas tuduhan pembunuhan bayi yang dilahirkannya. - Foto REUTERS
Marshae Jones didakwa atas tuduhan pembunuhan bayi yang dilahirkannya. - Foto REUTERS

Wanita keguguran ditahan atas tuduhan bunuh bayi

WASHINGTON: Seorang wanita yang keguguran selepas ditembak lima kali, didakwa oleh pihak berkuasa Alabama dengan kematian janinnya semalam.

Pendakwaan itu dikutuk keras kumpulan penyokong pengguguran.

Penangkapan Marshae Jones dibuat di tengah ketegangan memuncak mengenai isu pengguguran selepas lebih 12 negeri di selatan dan tengah Amerika Syarikat, termasuk Alabama, meluluskan undang-undang ketat pengguguran yang kini dicabar di mahkamah.

“Marshae Jones didakwa melakukan pembunuhan tanpa niat kerana keguguran selepas ditembak lima kali di perut.

“Penembaknya masih bebas. Kami akan mengeluarkan Marshae dari penjara,” kata kumpulan The Yellowhammer Fund, yang memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang mahu melakukan pengguguran menerusi Twitter.

Jones, 27, ditembak Disember lalu ketika bergaduh dengan seorang wanita lain.

Walaupun penembak didakwa awalnya oleh juri agung, pendakwa menggugurkan kes dan sebaliknya mengenakan tuduhan terhadap Jones, yang ditahan kelmarin.

“Siasatan menunjukkan mangsa sebenar dalam kes itu ialah janin berkenaan.

“Ibu kepada bayi itu yang memulakan dan meneruskan pergaduhan, menyebabkan kematian anaknya yang masih dalam kandungan,” kata pegawai polis di pekan Pleasant Grove, Danny Reid. — AFP

Berita Harian X