Selasa, 25 Jun 2019 | 7:27am
Duta Iran ke PBB, Majid Takht-Ravanchi pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan di New York, semalam. Foto EPA
Duta Iran ke PBB, Majid Takht-Ravanchi pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan di New York, semalam. Foto EPA

UNSC gesa dialog tamat isu Iran, Amerika Syarikat

NEW YORK (PBB): Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa satu sesi dialog diadakan, bagi mengakhiri ketegangan yang sedang berlaku di rantau Teluk.

Bagaimanapun, Iran enggan mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat selepas Presiden Donald Trump melaksanakan beberapa sekatan baharu, ke atas negara itu.

Dalam satu kenyataan yang dirangka oleh Kuwait, UNSC turut mengutuk serangan ke atas beberapa kapal tangki dan menyifatkan ia sebagai satu ancaman terhadap bekalan minyak dunia, selain keselamatan serta keamanan dunia.

Selepas berlangsung selama dua jam, mesyuarat agensi badan dunia itu dalam satu kenyataan bersetuju untuk tidak menyalahkan Iran, tetapi dengan jelas meminta semua pihak supaya mengelak konfrontasi berbentuk ketenteraan.

Kenyataan oleh UNSC itu dibuat beberapa jam selepas Trump mengenakan beberapa sekatan baharu ke atas Iran, yang menyasar pemimpin Ayatollah Ali Khamenei dan lapan komander negara itu.

Ketika mesyuarat berlangsung secara tertutup atas permohonan Washington itu, Duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravanchi memberitahu wartawan, bahawa syarat yang dikenakan, tidak memungkinkan satu dialog diadakan dengan Amerika Syarikat.

“Kamu tidak boleh mengadakan dialog dengan seseorang yang sedang mengancam kamu, yang cuba menakutkan kamu.

“Suasana ketika ini tidak membolehkan dialog seumpama itu diadakan,” kata Majid. - AFP

Berita Harian X